
Beliau berkata kekosongan kerusi itu yang disebabkan oleh perintah Mahkamah Pilihan Raya dan kuasa adalah pada mahkamah untuk memaklumkan kepada SPR.
“Keperluan untuk hakim Mahkamah Pilihan Raya memperakukan keputusan kepada SPR dalam masa 14 hari adalah suatu kehendak mandatori sebelum keputusan tersebut dianggap sebagai muktamad.
“Mahkamah Pilihan Raya tidak akan mengeluarkan perakuan sekiranya rayuan difailkan dalam tempoh 14 hari,” katanya di Dewan Rakyat.
Ariff berkata, memandangkan Sivarraajh menyatakan hasratnya untuk mengemukakan rayuan, perakuan tidak akan dikeluarkan oleh Mahkamah Pilihan Raya dan akan dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan selepas proses rayuan selesai.
Beliau berkata, oleh kerana SPR hanya akan mengisytiharkan sesuatu kerusi sebagai kosong selepas menerima perakuan daripada mahkamah, maka sehingga proses rayuan selesai, Sivarraajh masih dianggap sebagai ahli Parlimen.
“Selepas keputusan dibuat oleh hakim pilihan raya di bawah subseksyen 36(1) Akta 5, Mahkamah Pilihan Raya mempunyai tempoh masa 14 hari untuk membuat perakuan menurut subseksyen 36(2) kepada SPR.
“Sekiranya Sivarraajh menggunakan haknya untuk membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan di bawah seksyen 36A Akta 5, pengeluaran perakuan tersebut akan ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai.
“Di bawah seksyen 36B, Mahkamah Persekutuan hendaklah mendengar dan membuat keputusan dalam masa 6 bulan,” katanya.
Ariff berkata apabila proses rayuan selesai, Mahkamah Persekutuan akan mengeluarkan perakuan sama ada mengesahkan atau mengubah keputusan Mahkamah Pilihan Raya.
Beliau berkata hanya setelah menerima perakuan daripada Mahkamah, SPR akan mengeluarkan notis untuk pilihan raya kecil dalam tempoh masa 30 hari dari penerimaan tersebut.
“Selagi tidak menerima perakuan, SPR tidak akan mengisytiharkan kekosongan kerusi,” katanya.
Pada 5 Disember lalu, Ariff dilaporkan memerintah Sivarraajh meninggalkan Dewan Rakyat sehingga beliau mendapat nasihat peguam pakar untuk memutuskan sama ada rayuan beliau difailkannya secara automatik menyebabkan penggantungan sementara sebagai ahli Parlimen berikutan keputusan mahkamah sebelum ini.
Sivarraajh berkata, nasihat pakar ialah selagi Mahkamah Tinggi tidak menghantar notis penghakiman kepada speaker bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands dikosongkan, maka beliau masih ahli Parlimen kawasan itu yang sah dan boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan BN di kerusi Parlimen Cameron Highlands pada pilihan raya umum ke-14 terbatal dan tidak sah kerana berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi.
Perkara 36(2) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 menetapkan hakim pilihan raya hendaklah dalam masa 14 hari selepas membuat keputusannya membuat perakuan mengenai keputusan itu kepada SPR bagi mana-mana pilihan raya yang dikendalikannya.
Sementara Perkara 36A (1) akta yang sama memberi kebenaran kepada pempetisyen atau calon terlibat membuat rayuan terhadap keputusan hakim pilihan raya kepada Mahkamah Persekutuan juga dalam tempoh 14 hari selepas keputusan dibuat.
Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata pembangkang mengalu-alukan keputusan speaker Dewan Rakyat yang merujuk kepada pendapat pakar undang-undang serta pendapat peguam Sivarraajh.
Beliau berkata jelas apa juga alasan yang diberikan kerajaan untuk nafikan hak Sivarraajh untuk tidak duduk di dalam Dewan Rakayt sesuatu perkara yang menyedihkan dalam sistem Parlimen Malaysia.
“Keputusan speaker Dewan Rakyat keputusan yang memenangkan rakyat. Rakyat yang memilih Sivarraajh dan ahli Parlimen BN lain.
“Diharap ianya menjadi panduan dan jangan terlalu ikut emosi dalam melakukan keputusan. Sila rujuk butiran dalam sistem perundangan sedia ada hari ini sebelum sesuatu keputusan dilakukan,” katanya.