Kita bertanggungjawab ke atas Malaysia, kata Dr M susulan kenyataan TMJ

Kita bertanggungjawab ke atas Malaysia, kata Dr M susulan kenyataan TMJ

Perdana menteri menafikan Putrajaya mencerobohi hal-ehwal negeri Johor.

Dr Mahathir berkata, Putrajaya bertanggungjawab ke atas seluruh negara.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan seorang anggota Kabinet beliau selepas Tengku Mahkota Johor (TMJ) menuduh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar campur tangan dalam urusan negeri.

Dr Mahathir memberi respons kepada komen TMJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang berkata isu melibatkan pembangunan Pulau Kukup bukan urusan kerajaan persekutuan.

Perdana menteri menafikan Putrajaya mencerobohi hal-ehwal negeri Johor.

“Kita tidak menyentuh Sultan,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Kita hanya kata Pulau Kukup tidak wajar dibangunkan dan perlu dikekalkan sebagai hutan simpan, terutama sekali kerana ia merupakan hutan bakau yang istimewa.

“Kita tidak mahu hutan bakau ditebang untuk pembangunan. Ia mungkin tanah kesultanan, tetapi ia tidak boleh dibangunkan,” katanya.

Semalam, Tunku Ismail menamakan Xavier sebagai “orang luar” dan berkata kementeriannya tidak mempunyai bidang kuasa ‘untuk mengatasi Perlembagaan negeri Johor’.

“Satu-satunya orang yang boleh meminda perlembagaan ialah Sultan. Surat yang dikeluarkan adalah jelas bahawa Pulau Kukup akan kekal sebagai taman negara,” katanya.

Kata Tunku Ismail, negeri Johor akan menangani isu itu “dengan cara kami sendiri”.

“Ini negeri Johor, Perlembagaannya wujud sebelum Malaysia ditubuhkan,” kata TMJ.

Dr Mahathir berkata, Putrajaya bertanggungjawab ke atas seluruh negara.

“Rakyat Malaysia bukan orang luar, kerajaan persekutuan bukan orang luar,” kata beliau.

“Kita bertanggungjawab ke atas semua perkara yang berlaku di seluruh negara.”

Kabinet sebelum ini memutuskan Pulau Kukup akan kekal sebagai taman negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.