
Menteri Datuk Seri Dzulkefly Ahmad percaya kolaborasi itu akan dapat mengurangkan beban yang ditanggung pesakit kanser, terutama golongan berpendapatan rendah.
“Ini merupakan cita-cita kami dalam sektor kerajaan. Ini bukan sahaja agenda kerajaan tetapi semua pihak, jadi kami harap dapat bantu melaksanakannya,” katanya kepada pemberita di Hospital Beacon hari ini.
Beliau ditemui selepas melancarkan tabung kebajikan terapi sasaran untuk pesakit kanser payudara, hasil inisiatif Hospital Beacon dan syarikat bioteknologi, Roche Malaysia, bagi membantu pesakit mendapatkan rawatan inovatif pada harga berpatutan.
Dibawah tanggungjawab sosial korporat itu, pesakit yang layak akan diberi akses kepada rawatan pada kadar subsidi iaitu sebanyak RM2500 bagi setiap sesi terapi sasaran, berbanding harga rawatan asal iaitu antara RM8000 hingga RM10,000 bagi setiap sesi.
Dzulkefly berkata kebanyakan pesakit kanser terutamanya dalam kalangan mereka yang berketurunan Melayu hanya mendapatkan rawatan kanser ketika sudah berada di tahap terakhir.
Katanya, salah satu puncanya adakah kos perbelanjaan yang tinggi selain kurangnya kesedaran untuk mendapatkan rawatan.
“Di Malaysia secara purata sebanyak 4,000 wanita menghidapi penyakit kanser payudara dan angka ini sangat membimbangkan.
“Orang Cina yang menghadapi penyakit ini ialah 1:14, India 1:16 dan Melayu 1:24, tetapi apa yang mengejutkan mereka yang berbangsa Melayu yang sering mendapatkan rawatan di tahap akhir,” katanya.