
Artikel ini akan mengupas isu ini dari sudut perspektif yang lebih terperinci di bawah undang-undang pilihan raya yang amat unik serta berbeza dengan undang-undang sivil lain.
Ia suatu undang-undang yang unik sehingga hakim Mahkamah Tinggi yang mengendalikan kes petisyen pilihan raya akan digelar sebagai hakim pilihan raya dan prosiding tersebut adalah di Mahkamah Pilihan Raya.
Selain itu, undang-undang pilihan raya ini juga boleh dikatakan unik kerana jika rayuan dibuat, rayuan tersebut akan terus didengar di Mahkamah Persekutuan tanpa perlu melalui Mahkamah Rayuan.
Bidangkuasa Mahkamah Pilihan Raya ini adalah sepertimana termaktub di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan yang membezakan prosiding kes petisyen pilihan raya dengan kes sivil yang lain.
Undang-undang pilihan raya ini juga boleh dikatakan asing kepada kebanyakan pengamal undang-undang kerana penggunaannya yang terhad iaitu hanya semasa pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK) diadakan.
Hakim Pilihan Raya, Datuk Hajjah Azizah Nawawi pada 30 November 2018 sepertimana diberi kuasa di bawah Seksyen 36 Akta Kesalahan Pilihan Raya memutuskan PRU14 bagi Parlimen Cameron Highland itu adalah terbatal dan Sivarraajh adalah disalah lapor pilih.
Tetapi, perintah tersebut tidak secara automatik menjadikannya muktamad dan berkuat kuasa. Jika dirujuk di bawah Seksyen 36C akta yang sama, perintah tersebut hanya akan muktamad selepas 14 hari tempoh pemfailan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan tersebut tamat.
Maka, dalam tempoh 14 hari ini, ia beroperasi sama seperti perintah penggantungan (stay) yang mana jika kes sivil yang lain, perintah penggantungan pelaksanaan adalah diperlukan apabila ingin merayu ke mahkamah yang lebih tinggi.
Jika dirujuk Seksyen 36C, ia dengan jelas menggunakan perkataan “muktamad” yang mana menunjukkan keputusan hakim pilihan raya adalah muktamad hanya selepas tiada rayuan difailkan dalam masa 14 hari.
Jika dalam masa 14 hari rayuan difailkan, keputusan hakim pilihan raya itu juga tidak akan muktamad sehingga selesai pendengaran rayuan dan tertakluk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan sama ada mengesahkan atau menterbalikkan keputusan hakim pilihan raya itu.
Seperti yang saya sebut sebelum ini, undang-undang pilihan raya adalah unik dan berbeza dengan undang-undang sivil yang lain. Saya berpendapat relevannya Seksyen 36C tersebut adalah untuk memastikan perintah pilihan raya kecil hanya akan dilakukan setelah segala remedi untuk pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan dilaksanakan.
Jika tiada peruntukkan kemuktamadan perintah di bawah Seksyen 36C tersebut, maka sejurus selepas hakim pilihan raya memutuskan pilihan raya itu terbatal, PRK perlu diadakan dan ini boleh mengakibatkan jika rayuan Mahkamah Persekutuan menterbalikkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya tersebut, PRK yang baru sahaja diadakan itu pula akan terbatal dan mengisytiharkan kembali calon asal tersebut dilapor pilih dengan sewajarnya.
Adakah proses itu akan membazirkan sumber kewangan negara? Semasa PRK Sungai Kandis yang lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya memaklumkan besarnya kos yang diperuntukkan untuk PRK tersebut sehingga mencecah RM1.4 juta. Jadi, pembaziran sumber kewangan negara akan berlaku jika tiada peruntukkan berkenaan kemuktamadan perintah hakim pilihan raya melalui Seksyen 36C Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Berbalik kepada isu pengusiran YB Cameron Highland dari persidangan Parlimen, Sivarraajh mempunyai tempoh sehingga 14 Disember 2018 untuk memfailkan notis rayuan dan sehingga tarikh tersebut, beliau masih lagi ahli Dewan Rakyat yang sah oleh sebab penghakiman hakim pilihan raya tersebut masih belum muktamad.
Dan jika notis rayuan difailkan sebelum tarikh tersebut, YB Cameron Highland juga masih menjadi ahli Parlimen yang berkelayakan dan boleh terus bersidang di Parlimen sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan sama ada mengesahkan atau menterbalikkan keputusan yang dibuat Azizah.
Justeru itu, speaker Dewan Rakyat perlu berhati-hati dalam memutuskan sesuatu keputusan agar tidak memprejudiskan hak seseorang ahli Parlimen untuk mewakili suara pengundi yang mengundi beliau semasa pilihan raya.
Sehingga ke hari ini, Sivarraajh dinafikan hak untuk berada di dalam persidangan Dewan Rakyat selama 2 hari sedangkan beliau masih lagi ahli Parlimen yang berkelayakan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Isu berkaitan hak seseorang ahli Parlimen yang merupakan penggubal undang-undang di negara ini tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak. Tiada satu pun undang-undang yang memberi kuasa untuk speaker Dewan Rakyat mengosongkan sesuatu kerusi.
Beliau seharusnya menunggu sehingga diberi notis kekosongan kerusi di Parlimen oleh SPR. Ini adalah proses yang sepatutnya berlaku selepas hakim pilihan raya memberi penghakiman, sepertimana di bawah Seksyen 36(2)(a), hakim pilihan raya akan membuat perakuan kepada SPR berkenaan penghakiman yang diberikan.
Hanya selepas tiada sebarang rayuan dibuat dalam tempoh 14 hari atau jika rayuan dibuat dan Mahkamah Persekutuan memerintahkan PRK diadakan, SPR akan memberi notis kekosongan kerusi Parlimen dan PRK bakal diadakan dalam masa 60 hari kekosongan tersebut.
Ketika itu barulah disahkan YB Cameron Highland kehilangan kelayakan sebagai ahli Parlimen.
Jika dilihat di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat, speaker Dewan Rakyat hanya boleh mengarahkan ahli Majlis keluar persidangan jika ahli dewan secara berulang kali menghujahkan perkara yang tidak ada kena mengena atau melakukan perkara yang tidak senonoh.
Tiada sebarang punca bidang kuasa yang membenarkan speaker Dewan Rakyat menghalau keluar ahli Parlimen disebabkan beliau hilang kelayakan yang mana ia adalah terletak pada kuasa SPR.
Sebarang cubaan untuk menafikan hak ahli Parlimen adalah amat merbahaya kepada sistem demokrasi berparlimen di negara ini. Ia amat serius sehinggakan Seksyen 124B Kanun Keseksaan memperuntukkan ia adalah satu kesalahan jika mana-mana pihak secara langsung atau tidak langsung membuat sesuatu aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen di Malaysia.
Sebagai kesimpulan, menjadi harapan saya agar speaker Dewan Rakyat membenarkan YB Cameron Highland terus bersidang dalam Parlimen.
Walaupun persidangan Parlimen hanya berbaki 2 hari sahaja lagi, namun ia adalah hak YB Cameron Highland untuk duduk di kerusi P.078, walaupun persidangan hanya berbaki seminit.
Kesucian Dewan Parlimen haruslah sentiasa diperlihara kerana disitulah tempat rakyat bergantung kepada para YB untuk menjalankan tanggungjawab selaku organ legislatif negara yang membawa suara dan keluh resah rakyat untuk perhatian kerajaan.
Amin Othman ialah pembaca FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.