Lembaga Peperiksaan nafi kesilapan soalan dalam kertas Biologi SPM

Lembaga Peperiksaan nafi kesilapan soalan dalam kertas Biologi SPM

Lembaga Peperiksaan berkata, salasilah keluarga yang dikemukakan terkandung dalam kurikulum dan buku teks Biologi tingkatan 5.

Gambar Bernama.
KUALA LUMPUR:
Tiada kesilapan soalan bagi kertas peperiksaan Biologi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), demikian menurut Lembaga Peperiksaan.

Dalam kenyataan hari ini, Lembaga Peperiksaan menafikan laporan tentang kesilapan soalan bagi mata pelajaran tersebut.

“Perkara berkaitan salasilah keluarga yang dikemukakan terkandung dalam kurikulum dan buku teks Biologi tingkatan 5.

“Bagi soalan berkenaan, calon dikehendaki membuat ramalan berdasarkan rajah salasilah keluarga yang diberikan,” menurut kenyataan itu.

Menerusi kenyataan itu juga, Lembaga Peperiksaan menyuarakan kekesalan terhadap masalah yang berlaku membabitkan kertas peperiksaan Braille (kertas peperiksaan khusus bagi calon cacat penglihatan) SPM 2018.

“Masalah tersebut berkemungkinan memberi kesan terhadap kefahaman dan jawapan calon. Lembaga Peperiksaan akan memastikan keadilan kepada calon terjamin dengan memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap pemeriksaan skrip jawapan peperiksaan,” katanya.

Justeru, Lembaga Peperiksaan akan memastikan masalah seumpama itu tidak berulang pada masa depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.