
Koordinator Himpunan ICERD dari Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, himpunan itu akan dilihat sebagai satu perhimpunan rakyat yang aman.
“…kita berikan jaminan kepada pihak berkuasa iaitu perhimpunan ini berjalan dalam keadaan baik, aman dan tiada tujuan untuk lakukan provokasi di mana-mana pihak. Anda akan lihat ini sebagai satu perhimpunan aman,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Himpunan aman meraikan kejayaan menolak ratifikasi ICERD diteruskan selepas pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi kebenaran untuk meneruskan himpinan itu di Jalan Raja sahaja.
Walaupun menerima kritikan terhadap penganjuran himpunan itu dari pelbagai pihak, pemimpin dari Umno dan PAS menyatakan perhimpunan itu untuk menunjukkan solidariti dan tanda kesyukuran atas usaha kerajaan membatalkan ratifikasi ICERD.
Sementara itu, PAS turut melahirkan prinsip yang sama iaitu tiada kompromi kepada mana-mana peserta yang cuba membuat dan mencetuskan kekecohan semasa himpunan itu berlangsung.
“Kita tidak akan kompromi dengan mana-aman ahli yang buat provokasi. Kita minta kepada semua peserta untuk sentiasa rakam guna kamera saat-saat perjalanan himpunan itu,” kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Kedua-dua pemimpin itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak polis dan DBKL kerana memberikan laluan kepada himpunan itu diteruskan.