PAC sahkan Ambrin, Madinah dipanggil berhubung dakwaan ubah laporan audit 1MDB

PAC sahkan Ambrin, Madinah dipanggil berhubung dakwaan ubah laporan audit 1MDB

Ambrin akan dipanggil esok, disusuli beberapa individu, termasuk Madinah pada Rabu ini.

Pengerusi PAC, Ronald Kiandee (tengah) percaya siasatan akan menemukan perkara tertentu yang bakal dikemukakan kepada persidangan Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan akan memanggil bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang untuk memberi keterangan berhubung laporan audit 1MDB yang didakwa dipinda.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Ambrin akan dipanggil ke PAC esok, disusuli beberapa individu lain, termasuk Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad pada Rabu minggu ini.

“Dia (Ambrin) akan dipanggil untuk memberikan keterangan kepada PAC esok, Madinah dipanggil pada lusa. Selepas itu ada beberapa saksi lain akan dipanggil,” kata Ronald dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Ronald berkata, siasatan dijalankan PAC, termasuk berkaitan dakwaan pengubahan laporan audit 1MDB tidak mempunyai tempoh waktu, tetapi berkeyakinan akan ada penemuan dibuat yang akan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

Pada masa sama, Ronald turut memaklumkan terdapat 2 kementerian, iaitu Kementerian Belia dan Sukan, dan Kementerian Pengangkutan, yang diberikan penekanan Jabatan Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara 2017 Siri 2.

Madinah yang turut hadir dalam sidang media berkenaan berkata, terdapat beberapa perkara dan isu punitif yang perlu dilihat oleh 2 kementerian terbabit.

“Ada beberapa perkara dan isu punitif yang perlu dilihat dan disusuli oleh KBS dan Kementerian Pengangkutan. Saya tidak katakan yang lain tidak ada isu, yang lain juga ada isu.

Dalam pada itu kata beliau, ini tidak juga bermakna 2 kementerian berkenaan telah dibuktikan bersalah, sebaliknya ia perlu jalankan siasatan lanjut.

“Ia bukan bermaksud kesalahannya sudah dibuktikan, tetapi perlu dijalankan siasatan lanjut,” katanya.

“Kalau melibatkan pihak kontraktor, ia juga akan disiasat oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan pihak berkuasa. Jadi, ia tertakluk kepada siasatan lanjut, bukannya bermaksud kita sudah jatuhkan hukuman,” tambah Madinah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.