Cameron Highlands: SPRM mula siasat dakwaan rasuah pilihan raya

Cameron Highlands: SPRM mula siasat dakwaan rasuah pilihan raya

Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon MIC dengan memutuskan berlakunya kejadian membeli undi seperti didakwa.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Azam Baki.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung dakwaan rasuah yang berlaku semasa pilihan raya umum 9 Mei lepas di kerusi Parlimen Cameron Highlands di Pahang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, kertas siasatan telah dibuka tetapi hanya mengandungi sedikit maklumat, lapor NST Online.

“Saya mengesahkan bahawa kertas siasatan telah dibuka…tetapi saya tidak boleh dedahkan siapakah yang disiasat kerana ia sedang berjalan.

“Jika ada perkembangan baru dalam kes ini, kami akan maklumkan kemudian,” katanya ketika dihubungi akhbar tersebut.

Jumaat lepas, Mahkamah Tinggi di sini, yang bersidang sebagai Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon MIC di Cameron Highlands dengan memutuskan berlakunya kejadian membeli undi seperti didakwa calon DAP, M Manogaran.

Hakim Datuk Azizah Nawawi, ketika membenarkan petisyen pilihan raya Manogaran berkata, pempetisyen berjaya membuktikan melampaui keraguan munasabah bahawa wang telah diberikan kepada pengundi semasa tempoh berkempen.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan dimaklumkan tentang keputusan mahkamah itu.

Keputusan Mahkamah Pilihan Raya itu memberi kesan ke atas penyandang kerusi Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarrajh, yang berkemungkinan hilang kerusi berkenaan. Beliau mempunyai masa 14 hari untuk memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Terdahulu, Bernama melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, MIC akan diberikan peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan sekiranya pilihan raya kecil diadakan di situ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.