PPBM masuk ke Sarawak atas kehendak penduduk Pribumi kata Dr M

PPBM masuk ke Sarawak atas kehendak penduduk Pribumi kata Dr M

PPBM sedar rakyat Pribumi masih tidak senang dengan taraf hidup, kemajuan dan peranan mereka dalam politik negara.

Dr Mahathir berkata, beliau yakin PPBM dengan kerjasama PH dapat menukar kerajaan sedia ada dalam pilihan raya negeri akan datang. (Gambar bernama)
BINTULU:
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Sarawak adalah atas kehendak rakyat pribumi negeri, yang merasakan hanya parti itu yang memahami tahap kehidupan dan melindungi hak mereka.

Beliau berkata, pada asalnya parti itu tidak bercadang untuk datang ke Sarawak, tapi akhirnya ia tetap melebarkan sayapnya ke Bumi Kenyalang, atas permintaan dan tuntutan rakyat Sarawak sendiri.

“Sebab kita sedar orang pribumi masih berasa tidak senang dengan taraf hidup mereka, kemajuan mereka, dan peranan mereka dalam politik negara.

“Mereka berpendapat hanya PPBM sahaja boleh perjuangkan hak mereka,” katanya semasa merasmikan penubuhan PPBM Sarawak di Dewan Suarah Bintulu., di sini, malam tadi.

Katanya, beliau yakin pada pilihan raya negeri yang akan datang, menerusi PPBM dengan kerjasama parti komponen Pakatan Harapan yang lain di Sarawak, rakyat akan dapat menukar kerajaan negeri yang ada sekarang.

Mahathir berkata, sebelum ini di Semenanjung, rakyat tidak terfikir Barisan Nasional (BN) boleh ditumbangkan, tetapi pada pilihan raya umum Mei lepas, rakyat menolak BN dan memilih PH.

Beliau seterusnya menyentuh soal belanjawan yang dibentangkan di persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, yang menyaksikan Sarawak memperuntukkan RM11 bilion untuk pembangunan, yang terbesar berbanding negeri lain.

Menurut beliau ia menunjukkan Sarawak adalah sebuah negeri yang kaya, dan sebagai negeri yang kaya rakyatnya tidak sepatutnya masih ramai yang miskin.

“Kekayaan itu seharusnya dikongsikan bersama dengan rakyat agar mereka akan turut kaya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.