
Bercakap kepada pemberita, Wee berkata beliau tidak mahu membuat apa-apa ramalan berhubung resolusi yang bakal diluluskan oleh perwakilan.
“Barisan Nasional (BN) dibubarkan? Anda perlu mendengar semula ucapan perwakilan hari ini,” katanya apabila diminta memberi komen terhadap usul Pemuda MCA yang mahu BN dibubarkan dan MCA mencari rakan kongsi baru.
“Lebih penting ialah perwakilan akan berbincang dan berdebat. Mari kita lakukannya dengan baik dan buat keputusan,” katanya.
Wee berkata, perwakilan perlu faham implikasi keputusan akan yang mereka buat.
“Jika kita boleh buat begitu, apakah langkah lanjutan yang perlu diambil dan bagaimana kita mempersiapkan diri. Pilihan yang kita buat mesti dapat dipertahankan.
“Kita juga mahu melihat sama ada kita mempunyai pilihan atau rancangan lain.
“Mesti ada tindakan susulan biar apapun keputusan kita,” katanya.
Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong sebelum ini menggesa supaya BN dibubarkan bagi membolehkan MCA mencari rakan kongsi baru yang mempunyai ideologi sama bagi membentuk gabungan politik baru.
Wong dilaporkan berkata, ia merupakan pendirian Pemuda MCA selepas badan itu mengadakan satu perbincangan tertutup.
Wee bagaimanapun menolak dakwaan bahawa parti itu tidak menjemput wakil parti komponen BN lain ke persidangan agungnya tahun ini.
“Saya telah maklumkan perkara ini kepada semua parti komponen BN. Semasa Liow (Tiong Lai) masih presiden, pada 30 Sept lepas, Jawatankuasa Pusat buat keputusan bahawa persidangan tahun akan akan dijalankan secara dalaman. Kita tidak akan menjemput pemimpin BN lain.
“Kali ini kita fokus kepada perwakilan, veteran parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kenapa NGO? Ini kerana MCA berasal daripada majlis perundingan NGO Cina,” katanya.
Dalam ucapan dasarnya sebelum itu, Wee berkata, perwakilan ke persidangan pusat seramai 1,637 orang itu juga akan meneroka dan membincangkan kedudukan MCA dalam BN.
“Kita akan membuat keputusan penting dalam persidangan hari ini. Ia akan menentukan masa depan MCA.
“Dalam suasana tidak menentu dalam politik kini, kita tidak boleh terburu-buru.
Wee berkata, MCA wujud kerana masyarakat Cina dan meminta isu berkenaan difikirkan dengan teliti dan dirancang dengan baik demi kepentingan semasa dan masa depan orang Cina.
Dalam pada itu kata beliau, MCA juga perlu melihat isu daripada perspektif rakyat Malaysia dan menghindari kenyataan beremosi.
Beliau berkata, selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas, banyak parti komponen yang meninggalkan BN, melainkan 5 buah parti, termasuk Umno, MCA dan MIC.
“Ini mungkin kelihatan seperti senario politik baru, tetapi pada hakikatnya ia merupakan keadaan yang menyerupai tahun awal penubuhan Perikatan. MCA merupakan pengasas bersama Perikatan dan BN selepas itu.
“Kita faham tentang persepsi masyarakat Cina terhadap Umno, tetapi MCA mesti membuat strategi tepat bagi menghasilkan keputusan yang bijak,” katanya.