Hartawan umum RM2 juta dikutip untuk kekalkan kuil Seafield

Hartawan umum RM2 juta dikutip untuk kekalkan kuil Seafield

Pengasas Berjaya Group, Vincent Tan menjangkakan dana akan bertambah apabila kempen kutipan derma orang ramai diiklankan di media esok.

Vincent Tan Chee Yioun. (Gambar Bernama)
SUBANG JAYA:
Hartawan dan pengasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun hari ini mengumumkan sebanyak RM2 juta berjaya dikutip untuk mengekalkan kuil Seafield yang menduduki tanah milik pemaju, One City Development.

Beliau berkata dana untuk membantu Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya itu dijangka bertambah apabila kempen kutipan derma orang ramai diiklankan di media esok.

“Saya rasa sekarang termasuk saya, Tan Sri David Kong, Tan Sri Barry Goh dan hari ini Datuk Anath Kumar Alagu, saya rasa kita dah dapat RM 2 juta.

“Saya rasa selepas ini lebih ramai yang akan menderma kerana esok akhbar akan iklankan perkara in,” katanya pada sidang media selepas melawat ke kuil Seafield, yang menjadi fokus dalam keganasan yang meletus baru-baru ini.

Vincent, yang mencadangkan kutipan dana itu berkata, kontroversi kuil itu akan dapat diselesaikan sekiranya pemilik One City menerima tawaran pihaknya.

“Kita tunggu keputusan. Mereka pemurah dan mungkin mereka akan bagi diskaun yang besar kepada kita atau mungkin mereka mahu derma keseluruhan tanah ini. Kita serahkan kepada mereka,” katanya.

Kuil berkenaan dijadualkan berpindah pada 22 November berikutan penyelesaian mahkamah melibatkan pemaju, One City Development Sdn Bhd, kerajaan Selangor dan 2 penuntut terhadap pentadbiran kuil, K Chellapa dan M Nagaraju.

Bagaimanapun satu kumpulan dalam kalangan penganut di kuil berkenaan berkeras mahu ia dikekalkan di tapak sedia ada, dan tidak dipindahkan ke tapak baru 3km dari situ, walaupun selepas bersetuju berbuat demikian dalam satu penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi pada 2014.

Sementara itu, Vincent berhasrat mendermakan RM50,000 kepada anggota bomba yang parah diserang perusuh semasa menjalankan tugas memadamkan kebakaran berhampiran kuil berkenaan pada Selasa.

Vincent berkata dia mahu membantu Muhammad Adib Mohd Kassim yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara.

“Kita beri sumbangan ini untuk bantu Muhammad Adib yang akan berkahwin bulan ini,” katanya ringkas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.