Aliran jualan modal asing dijangka berterusan hingga akhir tahun

Aliran jualan modal asing dijangka berterusan hingga akhir tahun

Walaupun aliran masuk asing bersih masih berterusan, namun secara keseluruhan aktiviti penjualan mengatasi pembelian

Kebimbangan terhadap ekonomi pesat membangun semakin memberi tekanan menyebabkan dana asing bertindak keluar dari pasaran negara terbabit. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Penjualan asing bagi ekuiti Malaysia dijangka kekal berterusan sehingga akhir tahun ini, dengan minggu yang baru berakhir mencatatkan aliran keluar bersih asing RM160 juta, demikian menurut Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew.

Beliau berkata, walaupun aliran masuk asing bersih juga masih berterusan dalam beberapa bulan lepas, namun secara keseluruhannya, aktiviti penjualan mengatasi aktiviti pembelian, sekali gus menjadikan nilai keseluruhan dibawa keluar dari Malaysia sejak minggu kedua Februari 2011 sehingga setakat ini adalah RM11.9 bilion.

“Aliran keluar asing mula ketara pada Mei 2013 dan seterusnya, memandangkan dana institusi asing melakukan penjualan disebabkan kebimbangan yang menyelubungi pasaran pesat membangun secara amnya, termasuk Indonesia serta Brazil, namun keadaan itu bukan sesuatu yang luar biasa bagi Malaysia,” katanya.

Pong berkata, jualan asing meningkat pada 2015 dan beberapa tempoh pada 2016 berikutan harga minyak mentah, yang mencecah paras rendah pada 2016.

Kebimbangan terhadap ekonomi pesat membangun semakin memberi tekanan kepada pasaran, dan ini menyaksikan dana asing bertindak keluar dari pasaran pesat membangun.

“Pada separuh pertama Nov 2018, kita dapat melihat beberapa petunjuk positif, namun pada separuh kedua bulan ini, situasi suram kembali menyelubungi pasaran,” katanya, dengan menambah bahawa penjualan asing bagi ekuiti Malaysia bernilai RM52.3 juta pada minggu sebelum ini.

“Apabila harga minyak mentah mulai pulih, beberapa dana turut membuat aliran masuk, namun ia agak kecil berbanding aliran jualan. Pada ketika ini, pasaran pesat membangun kekal tidak menarik bagi dana asing,” katanya.

Di peringkat tempatan, Khazanah Nasional Bhd menjual 16% kepentingannya dalam IHH Healthcare Bhd kepada Mitsui & Co. Ltd (Mitsui), Jepun, bernilai RM8.42 bilion.

Susulan penjualan itu, pegangan saham Khazanah dalam IHH akan susut kepada 26.05%, sementara Mitsui akan menjadi pemegang saham terbesar dalam firma hospital swasta terbesar di Asia itu dengan kepentingan sebanyak 32.9%.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, mengulas: “penjualan itu merupakan sebahagian daripada strategi Khazanah untuk mengembangkan perniagaan yang kami labur dan mencari masa dan nilai yang sesuai untuk mewujudkan kecairan bagi keperluan modal dan pelaburan pada masa depan.”

Mengulas mengenai perkara itu, Pengarah Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata langkah itu adalah rasionalisasi lazim untuk Khazanah Nasional menstrukturkan semula portfolio mereka dan menumpukan kepada perniagaan utama.

Pada Isnin, Kementerian Pembangunan Usahawan, menyingkirkan Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, berkuat kuasa serta merta.

Penyingkiran tersebut dipercayai disebabkan pembabitannya dalam laporan audit asal 1Malaysian Development Bhd.

Mengenai prestasi mata wang tempatan bagi minggu yang baru berakhir, Nazri Khan berkata, ringgit mengukuh, dipacu oleh kenyataan yang tidak dijangka daripada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) ia tidak akan menaikkan kadar faedah secara kerap seperti yang dijangkakan bagi tahun depan.

Beliau berkata, ini sekali gus menjadi petanda baik bagi mata wang negara pesat membangun.

“Ia akan memberikan momentum positif kepada ringgit, yang turut akan disokong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi,” katanya.

Penganalisis lain, Ketua Dagangan Asia-Pasifik Oanda, Stephen Innes menjangka ringgit didagangkan rendah sedikit antara 4.17 dan 4.20 minggu depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.