MB: Perak kaji hadkan operasi pusat hiburan jam 1 pagi

MB: Perak kaji hadkan operasi pusat hiburan jam 1 pagi

Perbincangan dengan PBT akan diadakan mengenai keperluan memendekkan operasi pusat hiburan.

Ahmad Faizal berkata, di Perak, terutama di Ipoh, keadaan masih terkawal walaupun ada orang berhibur sehingga awal pagi. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan Perak akan mengkaji untuk memendekkan waktu operasi semua pusat hiburan di negeri ini kepada pukul 1 pagi setiap hari.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenai keperluan untuk memendekkan operasi pusat hiburan di Perak.

“Bagi saya di Perak, terutama di Ipoh, saya nampak keadaan masih terkawal kalaupun ada orang berhibur sehingga awal pagi, ia tidak mengganggu-gugat ketenteraman awam.

“Saya akan dapatkan nasihat daripada PBT sebelum ia dilaksanakan atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Ridzuan edisi ke-6 dan Malam Nusantara sempena Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa ke-9 (Pulara) di sini malam tadi.

Beliau diminta mengulas sama ada mahu mengikut langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bercadang untuk memendekkan waktu operasi semua pusat hiburan di ibu negara kepada pukul 1 pagi.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata, bagaimanapun ada sebilangan kecil diberikan kebenaran khas untuk melanjutkan waktu operasi hingga pukul 3 atau 5 pagi.

Katanya, DBKL juga akan memulakan penguatkuasaan terhadap pusat hiburan yang beroperasi lebih dari pukul 1 pagi bermula Januari tahun depan.

Ahmad Faizal ketika berucap berkata, penganjuran Pulara menyediakan wadah serta modaliti untuk para penyair serta penulis bertemu, bermesra dan pada analisis terakhir menyumbang terhadap dunia persahabatan.

“Pulara bukan hanya merupakan acara ‘pit stop’ bagi para penyair dan pengarang dunia untuk singgah dan bercakap-cakap tentang hal-hal picisan, tetapi harus mencakupi isu serius yang mencerminkan kehidupan penulis,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.