Sultan Nazrin perkenan ziarah Muhammad Adib di IJN

Sultan Nazrin perkenan ziarah Muhammad Adib di IJN

Sultan Nazrin berkenan meluangkan masa hampir setengah jam menziarahi Muhammad Adib.

Seri Paduka diberi taklimat oleh doktor bertugas mengenai tahap kesihatan terkini Muhammad Adib di samping menghulurkan sumbangan kepada keluarga anggota bomba terbabit. (Gamber Bernama)
KUALA LUMPUR:
Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menziarahi Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights pada Selasa.

Baginda tiba di pekarangan Institut Jantung Negara (IJN) pada 9 pagi dan disambut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Muhammad Hamdan Wahid.

Sultan Nazrin berkenan meluangkan masa hampir setengah jam menziarahi Muhammad Adib.

Dalam kunjungan itu, Seri Paduka diberi taklimat oleh doktor yang bertugas mengenai tahap kesihatan terkini Muhammad Adib di samping menghulurkan sumbangan kepada keluarga anggota bomba terbabit.

Semalam, IJN dalam kenyataannya memaklumkan anggota bomba berusia 24 tahun itu sudah mula menunjukkan tanda-tanda sedar dan bertindak balas kepada beberapa arahan lisan tetapi masih berada di bawah pemantauan rapi penggunaan sedatif untuk membolehkan organnya pulih.

Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bomba Subang Jaya, dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil berkenaan.

Muhammad Adib yang mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan lain pada awalnya dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebelum dipindahkan ke IJN lewat malam Selasa.

Insiden kekecohan di kuil itu yang berlaku kira-kira 2.30 pagi Isnin tercetus berikutan isu perpindahan tapak kuil itu ke lokasi baru. Kejadian tertumpu di pekarangan kuil serta kawasan pusat membeli-belah One City pada hari berikutnya.

Muhammad Hamdan berkata, Sultan Nazrin dalam kunjungannya menyatakan rasa sedih baginda terhadap insiden yang berlaku kepada Muhammad Adib.

“Dalam kunjungan tadi, baginda bertitah bahawa baginda berasa sedih atas apa yang telah berlaku dan baginda turut mendoakan Muhammad Adib agar segera pulih (recover) dalam masa yang terdekat ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Muhammad Hamdan berkata, setakat ini pihak IJN, doktor pakar dan pegawai perubatan bertungkus lumus memberikan rawatan yang cukup intensif kepada Muhammad Adib.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.