
Mereka berkata 5 serpihan itu diberikan oleh nelayan, dipercayai daripada panel lantai pesawat Boeing 777, berdekatan Madagascar.
“Jawapan sebenar kepada MH370 itu berada di dasar laut. Untuk dapatkan jawapan sebenar itu, kita mesti menyelam.
“Bagaimanapun, setiap satu daripada serpihan ini boleh memberikan petunjuk,” kata pencari kapal tenggelam dari Amerika Syarikat, Blaine Gibson, selepas menyerahkan serpihan-serpihan itu kepada Loke, disaksikan oleh waris mangsa MH370.
“Setiap serpihan itu adalah petunjuk dan eloklah kalau kerajaan berusaha mencari serpihan di permukaan air.”
Pertemuan hari ini dianjurkan oleh Voice 370, kumpulan mewakili waris mereka yang hilang dalam penerbangan itu.

Penerbangan MH370, yang membawa 239 orang, hilang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Misi pencarian dasar laut oleh Australia, China dan Malaysia untuk mencari pesawat tersebut di kawasan seluas 120,000km persegi di Lautan Hindi selama hampir 3 tahun tidak membuahkan hasil.
Satu lagi misi oleh Ocean Infinity, sebuah syarikat ekplorasi dasar laut dari AS, menghentikan pencarian pada 29 Mei lepas tanpa sebarang penemuan besar.
Pada Julai, penyiasat menerbitkan laporan 495 halaman mengatakan kawalan pesawat itu mungkin sengaja dimanipulasi hingga terpesong dari arah perjalanan tetapi mereka tidak dapat menentukan siapa bertanggungjawab.
Setakat ini 27 serpihan pesawat dari serata tempat di seluruh dunia dikumpul tetapi hanya 3 serpihan sayap yang ditemui di pantai Lautan Hindi disahkan daripada MH370.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mei berkata kerajaan akan pertimbang menyambung pencarian jika menemui petunjuk baharu.
Ketika ditanya Gibson sama ada Loke sedia mempertimbangkan kontrak pencarian “tiada bayaran tanpa penemuan”, Loke berkata dia terbuka dengan sebarang kemungkinan dengan bukti yang boleh dipercayai.
Loke berkata 5 serpihan itu akan diserahkan kepada pasukan yang menyiasat kehilangan MH370.