Kami bukan budak-budak, peguam bantah DBKL tutup premis jam 1 pagi

Kami bukan budak-budak, peguam bantah DBKL tutup premis jam 1 pagi

Orang ramai bukan kanak-kanak yang perlu diberitahu di mana mereka perlu berada atau tidak berada selepas jam 1 pagi.

Siti Kasim mendakwa Khalid menggunakan perkara itu “bagi menunjukkan keunggulan, bukannya cuba memahami kita”.
PETALING JAYA:
Peguam-aktivis Siti Kasim hari ini membantah keras pemakluman Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengenai penguatkuasaan peraturan yang menghendaki premis hiburan di ibu kota ditutup pada jam 1 pagi seperti tercatat dalam lesen mereka bermula awal tahun depan.

Dalam catatan di laman Facebooknya, beliau berkata, orang ramai bukan kanak-kanak yang perlu diberitahu di mana mereka perlu berada atau tidak berada selepas jam 1 pagi.

“Kita manusia merdeka dan berhak membuat keputusan sendiri. Jika anda fikir anda boleh menyalahgunakan kuasa yang diberikan oleh undang-undang ‘dengan memakaikannya dengan jubah moral’, fikir sekali lagi,” katanya.

Semalam, Khalid berkata, terdapat banyak premis hiburan di Kuala Lumpur yang sepatutnya ditutup pada jam 1 pagi, tetapi terus membuka perniagaan hingga jam 5 pagi.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga akan mengkaji semula masa perniagaan premis yang diberikan kebenaran khas untuk membuka perniagaan hingga jam 5 pagi bagi memenuhi keperluan pelancong, tetapi didapati menyalahgunakan kemudahan itu dengan membenarkan penduduk tempatan mengunjunginya.

Katanya, langkah itu bertujuan mengingatkan orang ramai tentang keperluan menghabiskan lebih banyak masa serta wang dengan keluarga mereka.

Siti Kasim bagaimanapun mendakwa Khalid menggunakan perkara itu “bagi menunjukkan keunggulan, bukannya cuba memahami kita”.

“Bukan undang-undang yang menyekat kebebasan kita, sebaliknya kepercayaan anda yang melihatnya sebagai belenggu,” tambah beliau.

Menurut angka Peratuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), seramai 12.29 juta pelancong asing berkunjung ke Kuala Lumpur tahun lepas.

Matta mengingatkan kerajaan bahawa langkah mengehadkan masa perniagaan sehingga jam 1 pagi akan memberi kesan buruk ke atas ndustri pelancongan dan mempunyai kesan berangkai terhadap ekonomi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.