
Seorang pakar akademik di Jepun menggesa para pesakit mahupun sesiapa sahaja untuk menangis sebagai salah satu cara mengubati hati yang tertekan atau lara.
Hidefumi Yoshida berkata menangis melegakan tekanan berbanding ketawa, tidur atau secawan kopi panas.
“Menangis lebih berkesan daripada ketawa atau tidur dalam mengurangkan stres.
“Mendengar muzik yang penuh emosi, menonton filem yang menyedihkan dan membaca buku yang membuat air mata menitis memberikan manfaat yang besar untuk kesihatan mental,” katanya.
Ini kerana berlakunya rangsangan aktiviti saraf parasympathetic yang melambatkan kadar denyutan jantung, kesannya, ia menenangkan minda.
“Menangis sekali seminggu boleh membuatkan kita hidup bebas tekanan,” katanya.
Selain Yoshida seorang pakar psikiatri dari Amerika Syarikat, Judith Orloff juga mempercayai teori berkenaan.
Orloff menulis mengenai manfaat tangisan dalam portalnya, Psychology Today.
Dengan lebih 20 tahun pengalaman dalam bidang perubatan sebagai doktor, beliau akui banyak menyaksikan kekuatan air mata.
Menurut Orloff, air mata adalah injap yang melepaskan tekanan dari badan, ia juga berfungsi sebagai penenang kesedihan dan kekecewaan.
“Menangis adalah salah satu cara untuk menyingkirkan emosi mudarat supaya ia tidak bersarang di dalam badan dan mengakibatkan gejala tekanan, seperti keletihan atau kesakitan,” katanya.
Bukan itu sahaja, Orloff juga berkata, air mata baik untuk kesihatan mata kerana ia menghilangkan kerengsaan dan mengurangkan hormon tekanan serta mengandungi antibodi yang melawan mikrob patogen.
Badan kita menghasilkan 3 jenis air mata, iaitu refleks, berterusan dan emosi dengan setiap jenis mempunyai peranan penyembuhan yang berbeza.
“Sebagai contoh, air mata refleks membolehkan mata membersihkan zarah berbahaya apabila diganggu oleh asap atau ekzos.
“Jenis kedua, air mata ‘berterusan’ adalah air mata yang dihasilkan secara berkala untuk menjaga mata agar sentiasa lembap.
“Air mata yang keluar dalam jenis ini mengandungi bahan kimia yang dikenali sebagai ‘lysozyme’ dan berfungsi sebagai anti-bakteria yang melindungi mata kita daripada jangkitan,” terang beliau.
Malah, air mata yang mengalir ke hidung melalui saluran air mata adalah untuk menjaga kelembapan hidung dan bebas daripada bakteria.
Biasanya, selepas menangis, pernafasan dan kadar jantung menurun dan keadaan biologi itu membawa kita kepada emosi yang lebih tenang.
Pada tahun 1981, satu penyelidikan yang dikendalikan oleh Dr. William Frey di University of Minnesota juga membuktikan kebaikan menangis di mana hormon endorfin yang dilepaskan sewaktu menangis meningkatkan perasaan kebahagiaan dan kesejahteraan.
Satu lagi kajian yang dijalankan pada tahun 2008 membabitkan lebih 3,000 orang mendapati menangis membuatkan seseorang berasa lebih selesa dalam situasi yang sukar.
Malah, penyelidik mencadangkan menangis untuk digunakan sebagai satu bentuk terapi.