
Maszlee Malik berkata, pusat pengajian tinggi tidak mengira sama ada kerajaan atau swasta, adalah ejen penggerak untuk memperbanyakkan program ilmu dan kempen membaca di institusi masing-masing.
“Banyakkan program bedah buku, bual bicara tentang karya-karya besar, wacana dan debat tentang buku-buku yang mengandungi pemikiran-pemikiran yang tinggi,” katanya semasa merasmikan majlis pelancaran Program Read@Uni Peringkat Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
Majlis itu diadakan sebagai inisiatif ke arah memperkasa budaya membaca dalam kalangan warga universiti.
Tambah Maszlee, suasana membaca yang meriah dalam kalangan pelajar universiti mampu melawan budaya hidup “mediocre” iaitu budaya hidup kurang bermutu.
“Biarkan orang yang tidak membaca merasa kekok kerana tidak membaca, seperti mana orang yang tidak mempunyai akaun Facebook merasa kekok melihat orang lain mempunyai akaun Facebook,” katanya.
Katanya, pelbagai kaedah dijalankan sebagai usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan masyarakat dengan mengambil contoh pengiktirafan Unesco kepada Malaysia sebagai “Kota Buku Dunia 2020” dengan slogan “KL Baca- Caring Through Reading” yang menjadi pemangkin hasrat kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara membaca menjelang 2030.
“…suka untuk saya petik pesan Sasterawan Negara A Samad Said tentang remaja atau siswa yang membaca. Gagal membaca di waktu muda ibarat gagal jatuh cinta di waktu muda, begitulah ruginya bagi mereka yang tidak membaca,” katanya.