
Kapal yang dilaporkan dibina khas untuk Jho Low pada 2014 dengan harga AS$250 juta (kira-kira RM1 bilion) itu disita di Bali, Indonesia, awal tahun ini, dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia kerana dikaitkan dengan skandal rasuah 1MDB.
Mahkamah Tinggi (Bahagian Admiralti) hari ini membuka permohonan pembida untuk membeli kapal tersebut, selepas proses bidaan selama sebulan ditutup 5 petang semalam.
Bagaimanapun, peguam, S Sitpah berkata taksiran nilai kapal mewah dan identiti pembida kekal rahsia bagi melindungi privasi pembida serta integriti proses pembidaan sehingga penjualan selesai.
“Sebagai sebahagian proses penjualan kehakiman, kami tidak boleh mendedahkan bilangan nilai daripada tawaran bidaan ini. Sherif (pegawai mahkamah) Mahkamah Tinggi telah menerima tawaran,” katanya yang mewakili Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan hari ini.
Sitpah mengetuai pasukan perundangan untuk 4 plaintif – kerajaan, 1MDB dan 2 subsidiarinya, Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited.
Seperti pembelian mana-mana hartanah, beliau berkata, beberapa langkah susulan akan diambil dan selepas ini Sherif akan berhubung dengan pembida.
“Sifat proses jualan kehakiman adalah untuk mengekalkan keyakinan pembida bahawa identiti dan tawaran mereka tidak akan didedahkan sehinggalah penjualan selesai.”
Beliau berkata, pasukan perundangan berpuas hati dengan cara keseluruhan proses penjualan dijalankan, termasuk sokongan padu dan pemudahan oleh kerajaan, mahkamah dan broker jualan, Burgess yang dilantik Mahkamah Tinggi.
“Memandangkan pasaran sangat khusus, pakar dan elit serta masa singkat Equanimity dibuka untuk jualan, kami telah menarik minat dari seluruh dunia; Asia, Eropah, Timur Tengah, AS.”
Pada 24 Ogos lalu, mahkamah tersebut membenarkan permohonan kerajaan Malaysia dan 3 pihak untuk menjual Equanimity.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah penilaian dan penjualan dikemukakan 4 plaintif berkenaan.
Kapal mewah itu dibawa ke Pelabuhan Klang pada 7 Ogos lalu, selepas pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada kerajaan Malaysia.
Kapal itu disita di Bali, Februari lalu, atas permintaan pihak berkuasa AS sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah Jabatan Kehakiman AS (DoJ) ke atas 1MDB.
Kapal sepanjang 92m itu kini berlabuh sementara di Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut, Langkawi.