
Beliau berkata proses meratifikasi CPTPP hanya akan dilakukan apabila kerajaan benar-benar yakin ia mampu membawa manfaat dan kebaikan kepada negara.
“Tiada tarikh akhir dan proses untuk penguatkuasaan perjanjian itu, saya percaya akan bermula pada akhir tahun ini berikutan tujuh negara telah meratifikasi CPTPP,” katanya semasa menggulung perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2019 bagi MITI pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Di bawah terma CPTPP, perjanjian itu memerlukan pengesahan oleh sekurang-kurangnya separuh daripada penandatangannya, atau 6 daripada 11 negara terlibat.
Tujuh negara yang sudah mengesahkan CPTPP termasuk Mexico, Jepun, Singapura, New Zealand, Kanada, Australia dan Vietnam.
Menurut Darell, kerajaan melakukan kajian impak dan sehubungan itu berharap rakyat serta pemain industri dapat bersabar supaya satu keputusan terbaik dapat dilakukan.
“Saya tahu ada (pihak) yang cakap mereka telah membuat kajian impak dan risau kesan berkenaan persaingan yang ada masa ini dan ada juga yang melihat peluang untuk kita mengadakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) semasa China dan Amerika mempunyai masalah dan membawa kita ke tahap lebih hebat.
“Tetapi kerajaan tegas, bahawa kita ada banyak FTA. Kita juga ada banyak pertimbangan yang perlu diambil sebelum kita meratifikasikan CPTPP,” katanya.
Pada masa yang sama, Darell berkata, kerajaan juga sedang membuat rundingan lebih mendalam bersama rakan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan berharap ia dapat ditandatangani tahun hadapan.
“Kita juga menerima tawaran FTA dari beberapa negara. Ada sebuah negara ASEAN berminat menandatangani FTA dengan Malaysia dan ada juga negara yang meminta kajian semula FTA dan kita akan membuat keputusan melalui Kabinet,” katanya.