
Ketua Penerangan Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata dakwaan itu sama sekali tidak masuk akal kerana partinya mempunyai bilangan kerusi DUN yang lebih banyak berbanding parti-parti lain.
“Tak logik,” katanya kepada FMT.
Shamsul mengulas kenyataan Pengerusi Amanah Perak Asmuni Awi yang mendakwa Umno menawarkan jawatan menteri besar kepadanya jika wakil rakyat Amanah, PAS dan PPBM bersama Umno membentuk kerajaan baharu.
“Saya tolak bulat-bulat tawaran yang dibuat oleh individu yang sangat dikenali itu,” katanya lapor media.
Dalam kedudukan sekarang, Umno mengatasi parti-parti lain di Perak dengan 27 kerusi DUN, diikuti DAP (18), Amanah (6), PKR (4), PAS (3) dan PPBM (1).
Shamsul merasakan dakwaan itu dibuat bagi menutup keretakan hubungan dalam kerajaan Pakatan Harapan Perak.
“Krisis kepimpinan menteri besar Perak diwujudkan oleh kalangan pimpinan kerajaan sendiri akibat tidak puas hati dengan kepimpinan menteri besar,” katanya.