
Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam Hee Loy Sian berkata, ini disebabkan terdapat kilang memproses sisa plastik import yang diuruskan dengan baik.
“Ada kilang yang buat perniagaan yang betul dan mereka juga ada hak untuk dapatkan plastik ini untuk diproses.
“Kita kena tahu ada banyak kilang yang mengusaha dengan baik. Kalau kita kata hentikan semua ini tak adil kepada mereka, kerana mereka dah labur sejumlah wang yang sangat besar, berjuta-juta,” katanya ketika berucap di DUN Selangor.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Idris Ahmad (PH-Ijok) yang bertanyakan bagaimana Selangor boleh mendapat plastik daripada negara luar dan apakah tindakan drastik yang dilakukan oleh kerajaan negeri seperti pembatalan permit import (AP).
Sebelum ini, portal berita luar negara, RadioNZ dalam satu laporan mendedahkan ribuan tan sisa plastik dari New Zealand dikatakan dibawa masuk ke negara ini selepas China mengharamkan import sisa plastik ke negara itu.
Laporan itu menyebut hampir 40 kilang haram yang beroperasi di Jenjarom, Kuala Langat membayar dan membuang air tercemar selepas mencuci sisa plastik itu.
Mengulas lanjut, Hee berkata AP dikeluarkan semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) ketika mereka masih memegang kerajaan persekutuan.
“Zaman pemerintahan BN, mereka keluarkan AP kepada pengusaha kilang import plastik, berlaku sebelum PRU14 di mana AP telah disalahgunakan,” katanya.
Hee turut mengkelaskan terdapatnya plastik yang kotor, tidak berkualiti, bersih dan berkualiti.
“Kita hanya benarkan pada masa akan datang pengimportan plastik yang bersih dan berkualiti yang boleh buat kitar semula,” katanya sambil menambah beliau tidak mempunyai angka kilang pemprosesan yang menguruskan sisa plastik.
Bagaimanapun, menurutnya, di Kuala Langat terdapat 55 kilang kitar semula yang menguruskan sisa plastik dan daripada jumlah itu 33 kilang beroperasi secara haram, 17 secara sah dan 5 lagi masih perlukan pemulihan kerana terletak di lokasi zon industri.