
Dalam satu video yang dimuat naik ke Twitternya semalam, Hassan Al Kontar yang dikehendaki pihak berkuasa Syria kerana enggan menyertai khidmat tentera mandatori berkata, beliau dijangka tiba di Vancouver hari ini.
Beliau memulakan rakaman video itu dengan memohon maaf atas penampilan selekeh dengan misai dan jambang tidak dicukur, serta tidak aktif di media sosial sejak 2 bulan lalu.
Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku sebelum ini tidak penting lagi baginya kerana beliau mahu meneruskan hidupnya.
“Apa yang penting ialah hari ini dan esok, sekarang serta masa depan.
“Hari ini, saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Taiwan dan esok, saya akan tiba di destinasi terakhir saya di Vancouver, Kanada,” katanya dalam video yang mendapat 1,691 likes ketika ini.
Lelaki berusia 36 tahun itu menyifatkan 8 tahun ini “perjalanan sukar dan jauh”, khasnya 10 bulan lalu apabila terkandas di klia2.
“Saya tidak boleh melaluinya tanpa sokongan dan doa anda semua. Saya tidak boleh melakukannya tanpa bantuan keluarga saya, keluarga rakan Kanada dan peguam saya. Terima kasih semua. Saya sayang anda semua.
“Saya akan maklumkan perkembangan terkini kepada anda. Mari berdoa bagi mereka yang paling memerlukan,” katanya merujuk pelarian di kem penahanan di seluruh dunia.
Beliau yang pernah bekerja di Emiriah Arab Bersatu, tetapi diusir ke Malaysia selepas gagal memperbaharui visanya, dilarang terbang dari klia2 ke Ecuador, Mac lalu.
Beliau bertegas dihantar ke Kanada kerana mempunyai saudara di sana, serta menolak suaka ditawarkan negara lain, termasuk Malaysia.
Hassan mendakwa tinggal di klia2 sejak 7 Mac lalu kerana bimbang akan ditangkap dan dipaksa menjadi tentera, jika pulang ke Syria.
Polis menahannya pada 1 Oktober lalu, sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Awal bulan lalu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dilaporkan berkata, polis menahan Hassan kerana beliau memalukan Malaysia dengan catatannya di media sosial dan berada di kawasan larangan tanpa pas masuk.
Keadaannya seakan-akan watak dimainkan Tom Hanks dalam filem “The Terminal” mengenai seorang lelaki yang terkandas di sebuah lapangan terbang Amerika Syarikat, selepas rampasan kuasa di tanah airnya menyebabkan dokumen perjalanannya tidak sah.
Hassan hidup di klia2 dengan makanan dalam pesawat yang disumbangkan orang ramai. Dalam satu siri video YouTube, beliau mendakwa kumpulan hak asasi manusia enggan membantunya.