
“Tolong berhenti heret saya dalam isu kuil Hindu di USJ. Saya tiada pertalian dengan pemaju dan tiada kaitan dengan projek itu,” kata ahli Parlimen Seputeh itu menerusi Twitter hari ini.
Beliau memuat naik tangkap layar Facebook menyatakan “Pemaju itu ialah saudara Teresa Kok? Itu sebabnya menteri baik kita tidak boleh bersuara, khasnya M Kula Segaran?” merujuk menteri sumber manusia.
Dalam lampiran ke-2, di mana kedua-duanya ditambah perkataan “Palsu”, menunjukkan Kok bersama 2 lelaki dipercayai dikaitkan kepada One City, pemaju yang memiliki tanah Kuil Sri Maha Mariamman.
Sementara itu, Kok menerusi Facebook mempersoalkan kenapa “individu tidak bertanggungjawab” mengheretnya dalam isu penempatan semula kuil itu.
Pemimpin DAP itu menggesa pengguna media sosial berhenti memfitnahnya kerana beliau bukannya wakil rakyat Selangor dan tiada kaitan dengan perkara itu.
Kuil Sri Maha Mariamman sepatutnya dipindahkan pada 22 November lalu, susulan penyelesaian mahkamah membabitkan pemaju, kerajaan Selangor dan 2 penuntut terhadap pentadbiran kuil, K Chellapa dan M Nagaraju.
Bagaimanapun, sekumpulan penganut kuil Hindu itu bertegas mengekalkan ia di lokasi sedia, bukannya dipindah ke tapak baru kira-kira 3km dari sana, walaupun selepas bersetuju berbuat demikian dalam satu penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi pada 2014.
Mereka mendakwa penghakiman itu diingkari.
Pada 23 November lalu, One City menafikan bersetuju menagguhkan penempatan semula kepada 29 November ini, sebaliknya tarikh akhir mengosongkan tanah itu kekal pada 22 November seperti dalam writ milikan dikeluarkan Mahkamah Tinggi.
Hari ini, polis dilaporkan berkata, 21 orang ditahan setakat ini, termasuk 2 lelaki diberkas awal pagi tadi di sekitar kawasan Kuil Sri Maha Mariamman dengan parang ditemui dalam kenderaan mereka.
Sebanyak 23 kenderaan turut dibakar dengan sebuah jentera bomba dan penyelamat dirosakkan kumpulan penunjuk perasaan sehingga kini dan kumpulan penunjuk perasaan turut memecahkan pintu kaca serta tingkap One City yang terletak kira-kira 500m dari kuil itu.
One City belum bertindak balas terhadap kerosakan itu.