Bomba terpaksa berundur selepas diserang perusuh

Bomba terpaksa berundur selepas diserang perusuh

Ketua Pengarah Mohammad Hamdan Wahid berkata operasi memadam kebakaran terhenti apabila perusuh tiba-tiba menyerang anggota penyelamat.

SUBANG JAYA: Bomba terpaksa berundur dan operasi memadam kebakaran di kawasan rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 terhenti apabila anggota penyelamat diserang perusuh.

Ketua Pengarah Bomba Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata arahan berundur dikeluarkan apabila perusuh secara tiba-tiba menyerang jentera pemadam kebakaran dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dihantar ke lokasi rusuhan selepas menerima panggilan kecemasan pada 1.00 pagi tadi.

Sembilan anggota penyelamat terlibat kemudian mendapati mereka dikerumuni perusuh.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kedua-dua jentera dikerumuni oleh sekumpulan perusuh yang turut membaling batu dan cuba mencederakan anggota bertugas,” katanya pada sidang media di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) hari ini.

Ketika cuba berundur untuk menyelamat diri, seorang anggota penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang duduk di bahagian penumpang van EMRS ditarik keluar perusuh tanpa disedari pemandu.

Akibat kekecohan yang berlaku, 8 anggota penyelamat berkejar ke balai bomba tanpa menyedari kehilangan Adib.

“Sekembalinya kedua-dua jentera berkenaan ke balai bomba Subang Jaya, barulah mereka sedar Adib tiada bersama. Mereka cuba menghubunginya melalui telefon bimbit dan dijawab oleh orang awam yang memaklumkan mereka dalam perjalanan membawa mangsa ke hospital,” katanya.

Adib dilapor cedera parah kerana diserang perusuh dan dalam keadaan tidak sedarkan diri, dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman.

Beliau sedang dirawat di unit rawatan rapi sejak awal pagi tadi dan masih dalam keadaan kritikal.

Hamdan berkata anggota-anggotanya yang terselamat daripada rusuhan awal pagi tadi dalam keadaan trauma.

“Namun mereka dipanggil untuk dipulihkan semula, memandangkan tugas harus diteruskan.”

Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 bagi membantah pemindahan kuil itu ke tapak baharu.

Selain menyerang anggota penyelamat, mereka merosakkan dan membakar beberapa kenderaan yang terletak berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.