
Beliau berkata, kos yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan meningkat selepas kerajaan negeri memutuskan untuk memberi air percuma kepada seluruh penduduk di Selangor sebelum ini.
“Tan Sri Khalid (Ibrahim) tinggal, masa tu 4.6 juta rakyat negeri Selangor, sekarang 6.4 juta orang.
“Dari tahun ke tahun kosnya meningkat dan meningkat. Kita perlu susun perbelanjaan berdasarkan keadaan semasa,” katanya, ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Pada pembentangan belanjawan Selangor 2019 Jumaat lalu, Amirudin mengumumkan pemberian air percuma sebanyak 25 meter padu sebulan bakal dinikmati golongan yang berada dalam kelompok B40.
Untuk rekod, Selangor sebelum ini menawarkan air percuma sebanyak 20 meter padu sebulan kepada semua wargaya.
Amirudim dalam pada itu berkata, kerajaan negeri boleh memilih untuk mengambil sikap populis setiap masa, namun kedudukan kewangan kerajaan harus diambil kira.
“Sudah sampai masa untuk kita tak bagi secara pukul rata, sebaliknya secara berfokus, kepada mereka yang benar-benar memerlukan, mengikut kemampuan dan spesifikasi mereka.
“Sebagai contoh golongan M40, ada bantuan lain yang kita berikan, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang kebanyakannya juga memberi ruang kepada mereka untuk memperkasa diri, bukan main pukul rata,” katanya lagi.
Terdahulu, Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail dalam sesi perbahasan belanjawan di DUN Selangor hari ini meluahkan rasa kecewa dengan ketetapan terbaru kerajaan negeri untuk mengehadkan pemberian air percuma kepada golongan B40 sahaja.
Katanya, keputusan tersebut secara tidak langsung akan memberi kesan kepada golongan M40 yang tidak lagi dapat menikmati air percuma di negeri itu.
“Tindakan mengehadkan (air percuma) kepada golongan B40 akan beri kesan kepada M40 yang mungkin datang daripada pasangan baru berkahwin atau keluarga yang mungkin memperoleh pendapatan tinggi sikit daripada B40,” katanya.
Rizam malah mendesak kerajaan negeri untuk memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan pada tarif air selepas ini.
“Saya ingin mendapatkan kepastian daripada kerajaan negeri dan jika boleh saya ingin mendesak agar kerajaan dapat memberi jaminan tiada kenaikan tarif air di negeri ini, terutamanya bagi penggunaan domestik bukan komersial.
“Jika kerajaan negeri gagal memberikan jaminan ini saya beranggapan tindakan tersebut hanya membuktikan kerajaan terdesak untuk mencari wang dan dana bagi membiayai jumlah tidak masuk akal pengambilan Splash bernilai RM2.55 bilion.”
Kerajaan negeri Selangor pada pembentangan belanjawan Jumaat lalu mencadangkan anggaran perbelanjaan sejumlah RM2.56 bilion.
Amirudin berkata, daripada jumlah terbabit, RM1.28 bilion atau 50% diperuntukkan sebagai perbelanjaan mengurus dan bakinya RM1.28 bilion untuk belanja pembangunan.