Kes bayi maut dirogol tidak dibawa ke mahkamah jenayah seksual kanak-kanak

Kes bayi maut dirogol tidak dibawa ke mahkamah jenayah seksual kanak-kanak

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mangsa meninggal dunia selepas 2 hari kritikal akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami pengasuhnya. (Gambar AFP)
KUALA LUMPUR:
Pendakwaan terhadap suami pengasuh dalam kes kematian bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muazara Ulfa Mohammad Zainal atau Zara tidak dijalankan di Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak kerana ia dikategorikan sebagai kes bunuh.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohamed Hanipa Maidin berkata lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

“Saya rasa buat masa ini saya tak nampak untuk bawa ke (mahkamah) jenayah kanak-kanak sebab walaupun melibatkan mangsanya adalah kanak-kanak, tetapi ia lebih pada jenayah pembunuhan yang sepatutnya dibawa ke mahkamah biasa,” kata Mohamed Hanipa dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang ingin tahu sekiranya pendakwaan suspek boleh dilanjutkan ke Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Sebelum ini, media melaporkan Nur Muazara Ulfa meninggal dunia selepas 2 hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya yang bekerja sebagai tukang gunting rambut.

Jumaat lepas di Mahkamah Majistret Kajang, Hazmi Majid, 36, didakwa membunuh dan menyebabkan kematian bayi perempuan itu di sebuah rumah di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara 10.30 pagi dan 1.30 tengah hari, 7 Nov lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.