
Ahmad Mustain Othman (PH-Sabak) menyarankan kerajaan negeri menurunkan kuantiti bulanan daripada 25 meter padu sebulan kepada 15 meter padu sebulan daripada mengurangkan penerima.
“Walaupun jumlah air percuma (untuk B40) dinaikkan dari 20 meter padu keapda 25 meter padu, tetapi bilangan yang menerima semakin berkurangan,” katanya pada sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2019 hari ini.
Ahmad memberi amaran rancangan menarik balik pemberian air percuma itu daripada sebahagian besar warga Selangor itu boleh menjejaskan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan.
“Lebih ramai rakyat yang akan menerima air percuma maka lebih ramai yang akan mengundi PH, dan akan lama lagilah BN merampas Selangor,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Amirudin Shari menjelaskan rancangan mengehadkan penerima bekalan air percuma itu, yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan Jumaat lepas, kerana peningkatan kos yang perlu ditanggung kerajaan negeri ekoran pertambahan penduduk.
Adun Ronnie Liu Tian Khiew (PH-Sungai Pelek) bagaimanapun berkata kerajaan negeri memang patut menyalurkan bantuan air percuma kepada kumpulan isi rumah berpendapatan 40% menengah (M40).
“Walaupun M40 tapi dia pun macam orang miskin juga kalau tanggungan dia besar,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pembangkang Rizam Ismail (BN-Air Tawar) pagi tadi berkata rancangan kerajaan itu secara tidak langsung akan memberi kesan kepada golongan M40.
“Tindakan mengehadkan (air percuma) kepada golongan B40 akan beri kesan kepada M40 yang mungkin datang daripada pasangan baru berkahwin atau keluarga yang mungkin memperoleh pendapatan tinggi sikit daripada B40,” katanya.