MB: Program air percuma B40 bukan sebab ambil alih SPLASH

MB: Program air percuma B40 bukan sebab ambil alih SPLASH

Pengambilalihan SPLASH tidak membabitkan peruntukan kewangan daripada negeri, sebaliknya melalui Air Selangor yang mendapat pinjaman daripada kerajaan Persekutuan.

Amirudin berkata, beliau juga sedang meneliti kaedah terbaik pemberian air percuma selain kepada golongan B40.
CYBERJAYA:
Kerajaan Selangor menolak dakwaan rancangan menawarkan air percuma 25 meter padu hanya kepada kumpulan B40 berbanding kepada semua penduduk di negeri itu ketika ini dibuat susulan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menegaskan pengambilalihan itu langsung tidak membabitkan sebarang peruntukan kewangan daripada negeri, sebaliknya ia diambilalih oleh Air Selangor, syarikat tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan negeri Selangor melalui pinjaman daripada kerajaan Persekutuan.

“Jadi (program pemberian air percuma) itu tak mempunyai kaitan dengan kesan pengambilalihan SPLASH sebagaimana anggapan beberapa pihak,” katanya kepada media selepas majlis Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir & Miskin, Lembaga Zakat Selangor Sesi 2018 di sini hari.

Ogos lalu, Air Selangor mengumumkan pengambilalihan SPLASH dengan nilai RM2.55 bilion yang mengakhiri episod penstrukturan air Selangor yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam berkata, keputusan kerajaan Selangor dalam pemberian air percuma hanya kepada golongan B40 tidak mengejutkan, malah sudah dijangkakannya terutama selepas kerajaan negeri membuat keputusan membayar RM2.55 bilion kepada SPLASH.

Abdul Khalid menganggap bayaran melebihi 10 kali ganda dari tawaran yang beliau lakukan ketika memegang jawatan menteri besar Selangor dahulu akan memberi beban yang besar kepada kerajaan negeri.

Berkenaan mekanisme pemberian air percuma kepada golongan B40 sebagaimana yang dibentangkan Amirudin pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019 Jumaat lalu, menteri besar itu berkata, perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan Air Selangor.

“Kita akan lihat mekanisme tertentu dari segi permohonan dan sebagainya dan saya akan bincang dengan Air Selangor mengenai mekanisme terbaik bagi pelaksanaan program ini,” katanya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua berkata, pihaknya juga sedang meneliti kaedah terbaik pemberian air percuma selain kepada golongan B40.

“Kita akan lihat mekanisme tertentu melalui data akaun air yang kita ada yang mana mereka yang tidak termasuk dalam B40,tetapi layak mengikut syarat tertentu yang akan nanti diputuskan,” katanya.

Dalam pada itu katanya beliau menjangkakan keputusan mekanisme pemberian air percuma tersebut akan diumunkan menjelang Mac atau April tahun hadapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.