ICERD: Apa salah berhimpun untuk bersyukur, penganjur soal Anwar

ICERD: Apa salah berhimpun untuk bersyukur, penganjur soal Anwar

Tiada masalah meneruskan himpunan walaupun kerajaan PH memutuskan tidak meratifikasi ICERD..

KUALA LUMPUR:
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempelak atas kenyataan yang mendakwa himpunan 8 Disember depan bagi membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai “gimik politik nakal”.

Penganjur himpunan Aminuddin Yahya berkata, beliau tidak melihat sebarang masalah untuk meneruskan himpunan walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) memutuskan tidak menandatangani triti global itu.

“Kita hendak bersyukur, jadi apa salahnya? Saya tidak nampak apakah masalahnya. Adakah bersyukur itu dilihat sebagai tindakan nakal? Sebagai seorang Muslim, peliklah jika bersyukur dilihat sebagai tindakan nakal.

“Kita bersyukur atas kejayaan kita (mendesak keraajan untuk tidak meratifikasi ICERD,” katanya yang juga merupakan pengerusi pertubuhan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di PWTC, hari ini.

Semalam, Anwar mempersoalkan tindakan beberapa kumpulan orang Melayu dan parti politik meneruskan himpunan membantah ICERD, selepas Putrajaya memutuskan tidak menandatanganinya.

Anwar menyifatkan himpunan yang disokong PAS dan Umno itu sebagai “gimik politik nakal” kerana semata-mata mahu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana tidak menerima ICERD.

“Saya tidak fikir itu munasabah. Saya banyak berhimpun, kita berhimpun atas prinsip tolak ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), minta pilihan raya bersih, tolak kezaliman.

“Ini…ini tak, perhimpunan kerana setuju tolak. Apa benda ni?” kata Anwar.

Terdahulu, Aminuddin dilaporkan berkata himpunan pada 8 Disember ini akan tetap diteruskan di Dataran Merdeka, tetapi himpunan bantahan itu ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, himpunan pada bulan depan itu akan tetap diteruskan, walaupun parti Islam itu menyambut baik keputusan kerajaan tidak mengiktiraf ICERD.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga dilaporkan berkata, parti itu akan menyertai himpunan berkenaan sebagai tanda “terima kasih” terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi konvensyen berkenaan.

Aminuddin berkata, sebagai penganjur, pihaknya tidak mengenakan larangan kepada mana-mana pihak termasuk parti politik membawa dan menaikkan bendera masing-masing semasa perhimpunan kerana ia bukan satu kesalahan.

“Jadi, sama ada hendak menaikkan bendera NGO atau parti masing-masing maka terpulanglah. Cumanya kita menggalakkan bawalah bendera Malaysia sebagai lambang perpaduan,” katanya.

Jumaat lepas, kerajaan mengumumkan Malaysia tidak akan mengesahkan ICERD berikutan perjanjian antarabangsa PBB itu menimbulkan pertikaian dalam masyarakat, terutama orang Melayu yang mendakwa triti tersebut bertentangan dengan perlembagaan dan mengancam kedudukan mereka dan kumpulan Bumiputera lain.

“Kerajaan akan terus mempertahankan perlembagaan Persekutuan yang dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini,” kata Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan keputusan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.