
Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, selain golongan B40, golongan berpendapatan pertengahan (M40) juga memerlukan program berkenaan.

“Kalau dilihat dari segi keperluan dan sebagainya mereka juga perlu dimasukkan.
“Mungkin yang tak perlu ialah golongan berpendapatan tinggi (T20) kerana mereka golongan yang berkemampuan dan tdak memerlukan air percuma,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata demikian mengulas langkah kerajaan Selangor mengekalkan program air percuma tahun depan, tetapi hanya disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).
Menteri Besar Amirudin Shari berkata, program air percuma itu diberikan kepada golongan B40 memandangkan mereka lebih berkeperluan dan lebih menghargai bantuan air percuma tersebut.
Amirudin berkata dengan sasaran itu, Selangor bersetuju menaikkan kadar air percuma daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan.
Mengulas lanjut, Yusof berkata, golongan M40 perlu diberikan bantuan itu kerana apabila tinggal di bandar, mereka akan dikategorikan sebagai miskin bandar.
“Orang yang duduk di bandar kadang-kadang kalau pendapatan sampai RM6,000 dengan tanggungan dan sebagainya, mereka pun akan dimasukkan ke dalam kategori golongan miskin bandar.
“Golongan macam ini pun perlu diberi bantuan bagi mengurangkan kos sara hidup mereka,” katanya.
Mengulas mengenai persoalan kenapa hanya kini program program air percuma kepada golongan B40 baru dilaksanakan, Yusof berkata, kutipan hasil kerajaan negeri akan terjejas sekiranya program tersebut diperluaskan kepada semua pihak.
“Jika mereka berikan kepada golongan sasaran sahaja, jadi mungkin boleh meningkatkan hasil kepada kerajaan dan ia boleh menggunakan wang tersebut untuk meningkatkan infrastruktur.
“Banyak berlaku kes penutupan loji. Ini mungkin kerana banyak loji tidak dapat ditingkatkan dari segi kemudahan rawatan air kerana memerlukan wang yang besar,” katanya.