Bina negara bangsa bersatu proses rumit, titah Sultan Nazrin

Bina negara bangsa bersatu proses rumit, titah Sultan Nazrin

Istilah penyatuan diperkenalkan dengan pelbagai slogan direka cipta, logo dilakar, lirik dikumandangkan, namun masih tidak memperlihatkan impak keberkesanannya.

Sultan Nazrin bertitah, komponen pengisian dalam membangunkan warga bersatu dan menjiwai semangat patriotik perlu diberikan penekanan seimbang dan seiring usaha membangunkan ekonomi dan prasarana fizikal. (Gambar Bernama)
TAIPING:
Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah bertitah membina sebuah “negara bangsa” merupakan satu proses yang kompleks, rumit dan berterusan.

Beginda bertitah pelbagai istilah penyatuan diperkenalkan dengan pelbagai slogan direka cipta, logo dilakar, lirik dikumandangkan, namun ia masih tidak memperlihatkan impak keberkesanannya.

“Malah slogan ke arah membentuk warga yang bersatu padu dalam sebuah negara yang merdeka, akhir-akhir ini, lebih banyak menimbulkan keraguan, lebih mengundang kontroversi dan semakin dipolemikkan, semakin dipolitikkan.

“Perkembangan ini sangatlah membimbangkan,” titah baginda pada majlis perasmian sambutan 135 tahun Muzium Perak, di sini hari ini.

Sultan Perak itu juga bertitah, komponen pengisian dalam membangunkan warga bersatu dan menjiwai semangat patriotik terhadap negara, perlu diberikan penekanan seimbang dan seiring usaha membangunkan ekonomi dan prasarana fizikal.

“Dalam senario yang sedang berlaku kini, keperluan tersebut menjadi semakin diperlukan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, institusi muzium dapat membantu negara dalam membina masyarakat yang berbilang kaum, agama dan kumpulan politik, bersatu padu serta setia kepada negara di bawah naungan pemerintahan payung mahkota negara, Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, sesebuah muzium dibina, diolah bahan-bahan yang dipamerkan dan urutan cerita yang dipersembahkan bagi mencapai tujuan spesifik, iaitu menyuntik semangat kenegaraan dan patriotisme.

“Ia dapat menyuntik semangat kenegaraan, semangat patriotisme, meniupkan roh keberanian, roh kepahlawanan, menyemaikan semangat perpaduan, semangat penyatuan, dan melukiskan imej negatif pihak lawan,” titah baginda.

Baginda bertitah, sesebuah muzium perlu memenuhi keperluan latar belakang pengunjung yang pelbagai, berfikiran lebih kritikal, selain memiliki tahap literasi dan pengharapan tinggi.

Sultan Nazrin bertitah, seiring dengan arus pemodenan dan gelombang globalisasi, minat pengunjung yang pasif yang sekadar melihat bahan dipamerkan berubah kepada pengunjung yang inkuisitif dan interaktif.

Titah baginda, fungsi asal muzium untuk memelihara dan menjaga khazanah warisan negara, kini beralih peranan sebagai fungsi penyelidikan, pendidikan, pemasaran, teknologi dan inovasi.

“Artifak kaku dan mati, wajib dihembuskan nafas, agar artifak itu dapat dihidupkan, berupaya berinteraksi, dirangkaikan, serta memberi pengertian dengan kehidupan semasa,” titah baginda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.