Selangor kekal air percuma hanya untuk B40 mulai 2019

Selangor kekal air percuma hanya untuk B40 mulai 2019

Selangor berkata golongan berpendapatan rendah B40 lebih berkeperluan dan lebih menghargai bantuan air percuma.

Selangor akan menaikkan kadar air percuma daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Selangor akan mengekalkan program air percuma, tahun depan tetapi kali ini hanya disasarkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40),” kata Menteri Besarnya, Amirudin Shari.

Beliau berkata program air percuma diberikan kepada golongan B40 memandangkan mereka lebih berkeperluan dan lebih menghargai bantuan air percuma ini.

Katanya, dengan sasaran itu, Selangor bersetuju menaikkan kadar air percuma daripada 20 meter padu kepada 25 meter padu sebulan.

“Golongan B40 ini ditakrifkan sebagai mereka yang didaftarkan atau berada dalam data e-Kasih.

“Mereka akan mendapat lebih manfaat dari pensejajaran semula air percuma nanti. Harapan kerajaan agar penjajaran ini bukan sahaja membantu mereka dalam kehidupan seharian tetapi membantu meringankan beban belanja bulanan dengan lebih berkesan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2019 Negeri Selangor hari ini.

Pada 2008, di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Selangor memberi air percuma sebanyak 20 meter padu dan program itu dicontohi kerajaan negeri lain kerana terbukti program ini memberi impak positif kepada kehidupan rakyat.

Amirudin berkata, pada 2019 jumlah yang diperuntukkan kepada program air percuma selepas penjajaran dilakukan adalah sebanyak RM80 juta dan ini membolehkan kerajaan negeri membuat penjimatan sebanyak RM105.2 juta.

Katanya, penjimatan itu akan dapat dikembalikan kepada rakyat melalui program pembangunan dan program mensejahterakan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Amirudin berkata Selangor menjadi negeri penyumbang terbesar negara dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk 2017 dengan sumbangan 23% daripada 22.7% pada 2016.

Beliau berkata peratusan itu dijangka terus meningkat pada 2018 dan sepanjang hampir 10 tahun Selangor terus kekal menjadi penyumbang terbesar kepada KDNK Malaysia melebihi 20%.

“Ini membuktikan kerajaan Selangor mempunyai keupayaan kewangan yang stabil melalui pengukuhan aspek tadbir urus yang menghasilkan perkhidmatan yang efisyen dan polisi yang efektif,” katanya.

Amiruddin berkata kadar pertumbuhan KDNK Selangor pada 2017 adalah 7.1% berbanding 4.8% pada 2016.

Beliau berkata, kutipan sebenar hasil negeri bagi 2017 adalah RM2.8 bilion dan hasil cukai mencatatkan kutipan sebanyak RM666.38 juta.

“Hasil bukan cukai mencatatkan RM 1.93 bilion dan terimaan bukan hasil berjumlah RM 214.62 juta,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.