
Madeline Berma, pakar ekonomi yang pernah berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia dan mengkhusus dalam bidang pembangunan luar bandar berkata, rancangan tersebut mungkin akan memperluaskan lagi jurang pembangunan antara kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dengan kawasan luar bandar seperti yang terdapat di Sabah dan Sarawak.

“IR4.0 akan memperluaskan jurang itu jika tiada langkah diambil bagi mengatasi masalah kekurangan infrastruktur asas IT di kawasan luar bandar,” katanya.
Kata beliau, capaian internet sangat terhad di Sabah dan Sarawak, dengan statistik 2016 menunjukkan capaian di Sarawak hanya sekitar 53%, sementara di Sabah 43.2%.
Madeline juga berkata, terdapat lebih 1,020 sekolah uzur di wilayah berkenaan, dan majoriti sekolah di luar bandar mempunyai capaian internet rendah.
“Sabah dan Sarawak perlu melangkahi jurang yang luas untuk meraih manfaat daripada IR4.0,” katanya.
Bagaimanapun beliau mengakui, IR4.0 berpotensi merapatkan jurang pembangunan yang ada sekiranya ia dilaksanakan secara saksama.
Inisiatif IR4.0 boleh menggalakkan pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur IT dan pembangunan manusia di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, katanya.
“Khasnya, usaha meletakkan teknologi digital di tangan semua orang,” katanya, dengan menambah bahawa perlu diadakan inisiatif menyasarkan “satu rumah, satu komputer”.
Katanya, penyediaan perkhidmatan jalur lebar lebih murah dan latihan penggunaan teknologi itu boleh membantu merapatkan jurang pembangunan yang ada.
Kerajaan juga boleh menyediakan perkhidmatan telefon dan internet percuma kepada rumah panjang, sekolah dan perpustakaan di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak, katanya.
IR4.0 merujuk kepada penggabungan berperingkat amalan pembuatan dan industri tradisional dengan dunia teknologi yang berkembang pesat, termasuk penggunaan kepintaran buatan, data raya dan pengkomputeran awan.
Kerajaan menyediakan peruntukan kepada pelbagai inisiatif bagi menggalakkan IR4.0 dalam Belanjawan 2019.