
Ia berkata, pertemuan itu diadakan di ibu pejabat Goldman Sachs di Lower Manhattan.
Pendakwa raya persekutuan kini memeriksa pertemuan 2012 itu dalam siasatan jenayah mereka ke atas bank tersebut, kata laporan itu.
“Kewujudan pertemuan secara berdepan antara ketua eksekutif Goldman dengan individu yang didakwa mendalangani penipuan besar itu menggugat kenyataan bank berkenaan sebelum ini, iaitu masalah yang berlaku berpunca daripada tindak-tanduk sejumlah kecil kakitangannya yang melanggar peraturan,” lapor akhbar itu lagi.
Jho Low didakwa merancang penipuan bernilai berbilion dolar melibatkan syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB.
Peranan Goldman menyokong 1MDB menyebabkan ia disiasat rapi oleh pendakwa raya persekutuan, yang pada bulan ini menfailkan pertuduhan jenayah terhadap 2 bekas pegawai bank pelaburan Goldman dan melibatkan seorang eksekutif kanan, lapor NYT.
NYT berkata, pertemuan antara Low dan Blankfein memperlihatkan peluasan skop skandal yang menggegarkan Goldman yang dikatakan sedang berhadapan dengan “denda besar” berhubung isu 1MDB.
Semalam, syarikat pelaburan tenaga Abu Dhabi menyaman Goldman di Mahkamah Negeri New York, dengan mendakwa kakitangan bank tersebut memberi rasuah kepada pegawai Abu Dhabi.
NYT berkata, 3 tahun sebelum pertemuan 2012 itu, pegawai pematuhan bank berkenaan telah beberapa kali menolak percubaan Low menjadi klien Goldman kerana tidak jelas bagaimana beliau memperolehi kekayaannya.
Goldman akhirnya membantu 1MDB menjual bon bernilai lebih AS$6 bilion (RM25 bilion) kepada pelabur, dengan mendapat fi kira-kira AS$600 juta.
Pendakwa raya di Malaysia dan Amerika Syarikat mendakwa Low menggelapkan ratusan juta dolar wang daripada 1MDB untuk dirinya dan beberapa orang lain. Low bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.
Urus niaga bon 1MDB dikendalikan sebahagian besarnya oleh Tim Leissner, pegawai kanan bank Goldman di Asia. Beliau juga mengatur pertemuan Jho Low dengan Blankfein, menurut 3 orang yang tahu tentang perkara itu, lapor NYT lagi.
Pada Ogos, Leissner mengaku bersalah terhadap tuduhan rasuah dan pengubahan wang berkaitan urus niaga bon 1MDB.
Semalam, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan pimpinannya sebelum ini ditipu oleh Jho Low.
“Ya, kalau begitu, itulah kesimpulannya (kita ditipu), kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini. Itu sebenarnya,” katanya dalam satu wawancara dengan akhbar Sinar Harian.
Najib juga menegaskan hubungan beliau dengan Jho Low bersifat profesional semata-mata, selain berkata, beliau hanya mengetahui tentang gaya hidup peribadi ahli perniagaan tersebut lama selepas itu.