Kesesakan: Pahang cadang bina 2 projek pelebaran jalan di Cameron Highlands

Kesesakan: Pahang cadang bina 2 projek pelebaran jalan di Cameron Highlands

Cadangan projek melibatkan pelebaran jalan di lokasi Kea Farm, iaitu dari arah Hotel Copthorne dan S’Çorner.

Wan Rosdy berkata, polis dan beberapa agensi akan menjalankan penguatkuasaan penuh dan toleransi sifar bagi kesalahan meletak kenderaan dan kesalahan halangan lalu lintas di CH. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Kerajaan negeri Pahang menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) mengemukakan 2 kertas cadangan pelebaran jalan raya kepada Kementerian Kerja Raya untuk mengatasi masalah kesesakan trafik yang teruk di Cameron Highlands, khususnya pada hari cuti.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kertas cadangan pertama melibatkan kerja menaik taraf jalan kembar 2 lorong kepada jalan kembar 3 lorong di Seksyen 66.9 hingga 68.5, laluan Persekutuan FT059, Tapah-Cameron Highlands.

“Cadangan projek ini melibatkan pelebaran jalan di lokasi Kea Farm, iaitu dari arah Hotel Copthorne dan S’Çorner menuju Kea Farm.

“Ia dikemukakan ke ibu pejabat JKR Malaysia pada Julai lalu sebagai tujuan diangkat ke peringkat pengurusan nilai serta dipertimbangkan untuk kelulusan sebagai projek baru di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) hingga RMK12,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 bagi menjawab soalan Ching Yoke Kong (DAP-Tanah Rata) yang bertanyakan tentang langkah jangka masa pendek dan panjang yang diambil oleh kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.

Wan Rosdy berkata, langkah projek kedua pula melibatkan kerja menaik taraf jalan simpang yang terdapat di laluan Persekutuan FT059, kawasan Tanah Rata melalui langkah seperti cadangan menutup simpang kurang pengguna serta membina laluan baru untuk akses pengguna ke simpang lain yang sedia ada.

Kertas cadangan itu, katanya telahpun dkemukakan kepada JKR pada awal Oktober lepas untuk pertimbangan kelulusan sebagai projek baru di bawah RMK11 hingga RMK12.

Beliau berkata, sebagai langkah jangka masa pendek untuk mengatasi masalah kesesakan di kawasan peranginan itu terutama pada waktu puncak, polis turut memainkan peranan mengawal lalu lintas.

“Semua pegawai dan anggota dari semua cawangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands membantu tugas melancarkan lalu lintas.

“Penguatkuasaan dilakukan secara penguatkuasaan penuh dan toleransi sifar bagi kesalahan meletak kenderaan di lokasi tidak dibenarkan dan kesalahan halangan lalu lintas.

“Dalam masa yang sama Rela, penguat kuasa Majlis Daerah Cameron Highlands dan Jabatan Pengangkutan Jalan turut membantu PDRM dalam penugasan dan penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.