
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata skim perumahan ini terbuka dan tidak mensasarkan mana-mana golongan, malah Tong juga meminta beliau untuk menjelaskannya.
“Dia silap cakap, lepas saya tanya pun dia cakap dia silap cakap dan dia suruh saya jelaskan. Skim itu terbuka kepada sesiapa sahaja dan tidak mensasarkan mana-mana kategori. Cuma kita cakap kita ada rumah RM300,000 dan ke bawah, dan ini kita anggap rumah mampu milik.
“Kita gunakan penanda aras kita RM300,000, jadi terbuka kepada sesiapa sahaja untuk pembeli rumah yang pertama atau yang kerja freelance macam wartawan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan kenyataan Tong bahawa skim itu tidak pernah disasarkan untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Pada 15 November lalu, Tong berkata, tiada golongan tertentu disasarkan penyokong skim itu yang dikritik sejak ia diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet 2019 pada 2 November lalu.
Katanya, mereka yang berminat perlu mempunyai simpanan untuk membayar pendahuluan 20% yang menjadi tumpuan kritikan kerana ia di luar kemampuan kebanyakan rakyat.
Tong juga berkata, pembinaan rumah bagi golongan miskin adalah tanggungjawab agensi kerajaan, bukannya sektor swasta.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata skim pemilikan rumah itu merupakan satu kaedah pembiayaan yang menarik dan kreatif untuk mendapatkan rumah pertama.
“Ini merupakan pilihan untuk mereka yang nak beli rumah dan lebih mampu milik. Jadi terbuka dan ini merupakan satu pilihan yang baik bagi mereka yang tidak ada gaji tetap yang tidak ada bank statement dan nak mohon untuk pinjaman bank.
“Kalau mereka yang suka kerja ‘freelance’, mungkin dengan kaedah ini mereka akan lebih kreatif untuk letak wang sebagai deposit atau ekuiti,” katanya.
Zuraida berkata skim perumahan itu menarik berikutan mereka yang berminat membeli rumah tidak perlu membayar selama 5 tahun dan hanya meletakkan deposit atau ekuiti sebanyak 20%.
Beliau berkata mereka yang nak membeli rumah itu tidak perlu bersusah payah memikirkan untuk membayar duit bulanan untuk rumah itu.
“Misalnya letak RM60,000 dan dia sudah ‘lock’ duit itu di sana. Katalah rumah yang dibeli pada harga RM300,000 meningkat kepada RM400,000 dan di situ duit yang dia ‘lock’ tadi meningkat kepada RM80,000, sudah dapat meningkatkan duit itu,” katanya.
Zuraida berkata skim perumahan ini juga tidak terdedah kepada “Ah Long” berikutan institusi yang menyertai program ini daripada syarikat besar.
“Misalnya Sime Derby, Gamuda Berhad dan semua akan mengambil bahagian dalam program ini,” katanya.
Belum ada perbincangan mengenai Forest City
Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata cadangan kerajaan Johor untuk memperuntukkan 30% bagi hartanah di projek Forest City kepada rakyat Malaysia masih belum dibincangkan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata apa-apa cadangan perlulah dikemukakan kepada kementeriannya dan setakat ini belum ada lagi perbincangan dengan kerajaan negeri.
“Mereka perlu bentangkan kepada saya, dan saya fikir mereka akan berjumpa dan lakukannya kepada saya.
“Apa-apa pun sekarang Forest City masih dalam peringkat perbincangan di negeri dan sebarang cadangan perlu dibentangkan dan menerangkan cadangan 30% itu,” katanya.
Pada 3 September lalu, kerajaan Johor mencadangkan peruntukan 30% bagi hartanah di projek Forest City kepada rakyat Malaysia berikutan kebimbangan penghijrahan warga China ke negeri itu.
Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan kuota itu belum dimuktamadkan.