
DBKL dalam satu kenyataan semalam berkata, semua penghuni rumah tersebut diseru supaya menyerahkan semula unit rumah berkenaan kepada pihaknya sebelum sebarang tindakan dikenakan.
“Tindakan rampasan rumah itu dilaksanakan bagi membolehkan DBKL mengeluarkan tawaran awam baru kepada mereka yang lebih memerlukan untuk menduduki PA dan PPR,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sebanyak 32 penghuni unit rumah yang ingkar akan arahan itu telah diambil tindakan menerusi Operasi Rampasan Rumah Transit di Perumahan Awam Desa Rejang pada 6 Ogos lalu menerusi notis yang diberikan pada 5 Julai lepas.
Ia merupakan tindakan susulan daripada 134 notis penamatan perjanjian penyewaan yang dikeluarkan kepada penghuni yang belum menyerahkan rumah bermula pada 15 Jun 2017.
Kesemua 134 penghuni yang menerima notis itu adalah antara 350 penduduk Rumah Panjang Setapak Jaya yang dipindahkan secara transit untuk tempoh 8 tahun oleh pihak pemaju ke Perumahan Awam Desa Rejang pada tahun 2008.
Mereka juga telah memilih opsyen membeli rumah kos rendah 20 tingkat yang akan dibina oleh pemaju sebanyak 168 unit rumah pada tahun 2011.
Selain itu, perjanjian penjualan rumah juga telah ditandatangani pada 2013 dan kunci rumah baru telah diterima oleh pembeli daripada pemaju bermula Oktober 2016 untuk berpindah ke rumah itu.