UNHCR, negara maju digesa bantu pendidikan anak pelarian

UNHCR, negara maju digesa bantu pendidikan anak pelarian

Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional mahu negara maju dan agensi berkaitan seperti UNHCR memberi lebih banyak dana serta kepakaran untuk pendidikan anak pelarian.

Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi mencadangkan bayaran berpatutan dikenakan kepada anak pelarian dan pendatang di sekolah kerajaan bagi mengurangkan risiko mereka terbabit dalam masalah sosial. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan pendidikan mempertahankan kerajaan susulan laporan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) yang menyifatkan Malaysia terlalu perlahan dalam memberi pendidikan lebih inklusif kepada anak pendatang serta pelarian.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hassan menyifatkan laporan Unesco itu tuduhan melulu terhadap Putrajaya kerana ia perlu mengambil kira kandungan dalam perjanjian dengan negara asal pelarian itu.

Beliau berkata, tidak adil mendakwa Malaysia tidak melakukan secukupnya kerana ini adalah proses yang perlu dilakukan secara berperingkat, dengan bantuan pihak lain.

Katanya, negara maju dan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) perlu memberi lebih banyak dana serta kepakaran untuk pendidikan anak pelarian.

“Adakah termaktub dalam pengambilan pelarian-pelarian itu perlu diberikan pendidikan sekali?

“Kedua, bergantung juga kepada bilangan pelarian yang terlibat, terutama kos yang berkaitan dan tidak ada pembiayaan langsung daripada UNHCR,” katanya kepada FMT.

“Untuk kita membantu dan perluaskan lagi pendidikan asas kepada kanak-kanak pelarian itu, saya rasa perlu ada kesefahaman dan kerjasama dan mungkin daripada negara pelarian tersebut. Ada negara maju mempunyai dana berlebihan.

“Ketiga, agensi berkaitan dengan pelarian tersebut perlu membantu bersama.”

Semalam, Unesco mengeluarkan Laporan Pemantauan Pendidikan Global 2019 bertajuk “Migration, Displacement and Education: Building Bridges Not Walls” yang menekankan pencapaian dan kelemahan negara dalam memastikan hak kanak-kanak pendatang serta pelarian mendapat manfaat daripada pendidikan berkualiti, hak yang memenuhi kepentingan pelajar dan masyarakat di tempat tinggal mereka.

Laporan itu menyatakan di Sabah, kanak-kanak pendatang dari Filipina dan Indonesia dikenal pasti sebagai orang asing dalam sijil kelahiran mereka dan tidak boleh mendapatkan pendidikan di sekolah kerajaan.

Perkara sama turut berlaku ke atas kanak-kanak Rohingya di Malaysia yang dinafikan akses kepada pendidikan kerana tiada kewarganegaraan.

Sementara itu, Duta Majlis Rohingya Eropah (ERC) ke Malaysia, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi berkata kanak-kanak pelarian perlu dibenarkan mendapat pendidikan di sekolah kerajaan.

“Jadi, saya rasa disebabkan mereka sudah ada di sini, sekurang-kurangnya kita uruskan mereka di sini.

“Bukan Rohingya sahaja, (tetapi) semua pelarian sebab masa ini kita tidak ada satu rangka kerja untuk membenarkan anak-anak pelarian ke sekolah,” katanya kepada FMT.

Beliau bimbang silibus yang diajar di sekolah ditubuhkan komuniti pelarian itu sendiri tidak bersesuaian dengan semangat kebangsaan, oleh itu lebih baik anak pendatang dan pelarian mendapat pendidikan di sekolah kerajaan.

“Sekolah (yang ditubuhkan komuniti pelarian) ini ada dipantau dan ada tidak dipantau.

“Kalau dipantau, insya Allah silibus okey, tetapi yang tidak dipantau banyak lagi dan apa silibus yang diajar kita tidak tahu.”

Beliau mencadangkan bayaran berpatutan dikenakan kepada anak pelarian dan pendatang di sekolah kerajaan bagi mengurangkan risiko mereka terbabit dalam masalah sosial, seperti keganasan, penderaan, eksploitasi dan buruh kanak-kanak.

Beliau memberi contoh sebuah sekolah komuniti Rohingya di Langkawi yang mengenakan bayaran RM75 sebulan dan golongan pelarian tiada masalah untuk membayarnya.

“Jadi, cara ini juga boleh digunakan untuk mengatasi masalah bajet, selain mendapatkan peruntukan sedikit untuk mereka.”

Sebuah badan bukan kerajaan berpangkalan di Sabah, Advocates for Non-discrimination and Access to Knowledge, turut menyokong cadangan membenarkan kanak-kanak pelarian mendapat pendidikan di sekolah.

Jurucakap NGO itu berkata, jika kerajaan bimbang dengan pelaksanaannya, ia boleh dimulakan dalam beberapa fasa bagi memastikan sekolah bersedia menerima kehadiran kanak-kanak terbabit.

“Bagi sekolah kerajaan, kanak-kanak bukan warganegara selalu dikenakan bayaran lebih. Ini sepatutnya dapat membantu dalam penerimaan kanak-kanak ini di sekolah.”

Malaysia tidak mempunyai rangka kerja perundangan atau pentadbiran yang mengawal status dan hak pelarian di Malaysia kerana tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967.

Mengikut Akta Imigresen, pelarian dianggap pendatang asing tanpa izin dan berisiko ditangkap serta dihantar pulang ke negara asal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.