
Mereka turun ke jalan raya untuk meraikan hari kelahiran Nabi Muhammad, berpakaian serba tradisional, sambil memainkan gendang dan simbal mengiringi lagu-laguan dan zikir.
Maulud akhirnya kembali ke ibu negara Libya itu tahun ini selepas 4 tahun ia tidak diraikan. Sambutan ini merupakan tarikh penting buat kelompok Sufi di negara Afrika utara itu sejak berabad. Namun ketegangan antara kelompok Sufi dan Salafi, yang menyaksikan pengikutnya bertambah sejak beberapa tahun ini, menyaksikan perayaan itu dibatalkan di serata Libya.
Tripoli menjadi tuan rumah kepada banyak masjid-masjid sufi aliran Zawiya yang bersejarah, dan tahun ini, pemimpin mereka, Abdallah Banoon, gembira dapat menyertai perayaan terbuka itu.
“Kami tak dapat menyambut perayaan ini dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Bukan kerana saya takut ditembak, tetapi kerana takut orang gila meletupkan dirinya di tengah-tengah orang ramai,” kata Banoon.
Kebanyakan warga Tripoli mengalu-alukan tradisi itu. “Sungguh luar biasa. Perayaan turun-temurun ini hilang 4 tahun lalu, dan kehilangan itu menyakitkan hati saya,” kata seorang penduduk.
Perasaan itu turut disuarakan oleh seorang lagi penduduk. “Saya berasa lega tradisi kami muncul kembali,” katanya.