
R Kengadharan berkata, sebagai ejen Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pegawai bertugas harus menjalankan tugas demokratik mereka dengan adil, terutama pilihan raya umum yang hanya berlangsung 5 tahun sekali.
“Pegawai pengurus pilihan raya, yang merupakan penjawat awam, dilantik oleh SPR untuk mengendalikan pilihan raya, dan mereka dijangka bertindak tanpa rasa takut atau memilih kasih,” katanya kepada FMT.
Kengadharan berkata demikian mengulas keputusan hakim Datuk Azimah Omar membenarkan petisyen difailkan calon PKR, Dr Streram Sinnasamy untuk membatalkan keputusan SPR mengisytiharkan pemenang kerusi Rantau Datuk Seri Mohamad Hassan sebagai tidak sah dan terbatal.
Azimah juga mengarahkan pegawai pengurus pilihan raya, Amino Agos Suyub membayar kos RM30,000 kepada Streram.
Azimah berkata jelas Streram dihalang memasuki pusat penamaan calon dan mengatakannya sebagai penindasan.
Beliau juga berkata Mohamad, bekas menteri besar Negeri Sembilan, tidak dipilih secara sepatutnya.
Bagaimanapun, beliau mengecualikan SPR dan Mohamad daripada membayar kos, mengatakan mereka tidak sepatutnya dipersalahkan dengan apa yang berlaku.
Peguam Mohamed Rafique Rashid Ali berkata penghakiman Azimah seharusnya menjadi peringatan kepada semua pegawai pengurus pilihan raya, penolong pegawai pengurus pilihan raya dan penjawat awam mengenai pentingnya menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Keputusan masa 90 minit beliau juga mesti memberi pengajaran kepada pengerusi SPR dan suruhanjaya itu bagaimana mengendalikan pilihan raya pada masa depan,” katanya.
Beliau mencadangkan agar SPR mempertimbangkan memperluas pemilihan pegawai pengurus pilihan raya dalam kalangan ahli Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan dan penjawat awam yang bersara.
“Lagipun, proses pilihan raya adalah perkara asas bagi menegakkan demokrasi,” katanya kepada FMT.