
Dengan itu, PKR buat pertama kali menjadi “parti normal” sejak ia ditubuhkan pada 1999, mulanya sebagai Parti Keadilan Nasional setelah Pergerakan Keadilan Sosial (Adil) mengambil alih parti Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (Ikatan).
Adil merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan aktivis Reformasi sebagai gerakan membantah tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar selaku timbalannya dan menahan beliau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Ikatan ditubuhkan pada 1990 sebagai pecahan daripada Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim), sementara Hamim pula ditubuhkan pada 1983 sebagai pecahan daripada PAS.
Apa yang menjadikan PKR “parti tidak normal” selama ini ialah jawatan presidennya disandang Wan Azizah yang dianggap proksi Anwar.
Dari awal lagi, Wan Azizah diketengahkan gerakan Reformasi untuk menjadi simbol perjuangan politik Anwar. Beliau yang digelar “Ibu Reformasi” muncul daripada seorang isteri yang berazam membela suaminya kepada ahli politik. Daripada seorang ahli Parlimen Permatang Pauh hinggalah menjadi timbalan perdana menteri.
Sungguhpun beliau adalah presiden parti, PKR dikira dipimpin Anwar ketika beliau dalam penjara dengan gelaran “de facto leader”. Ia bukan jawatan rasmi, tetapi kuasanya adalah jelas, dipastikan dan dilaksanakan Wan Azizah sendiri.
Gelaran “de facto leader” itu diterjemahkan sebagai ketua umum. Ada satu ketika jawatan rasmi Anwar adalah penasihat, tetapi ia bukan penasihat biasa. Ini kerana beliau bukan saja mempunyai pengaruh, tetapi juga berkuasa besar terhadap parti.
Kalau di Indonesia, jawatan ketua umum atau singkatannya Ketum adalah suatu amalan lumrah yang dimasukkan ke dalam perlembagaan pertubuhan di sana, termasuk parti politik, tetapi tidak ada jawatan bernama ketua umum di Malaysia.
Namun, penggunaan istilah ketua umum oleh PKR adalah suatu langkah inovatif yang dapat menyelesaikan halangan perundangan kepada pergerakan parti.
Namun begitu, jawatan ketua umum ini menjadikan PKR “parti tidak normal”, walaupun ia berkesan selama ini. Ia berkesan bukan saja kerana PKR dapat bertahan sejak 1999, malah berjaya menjadi parti terbesar dalam pakatan kerajaan sekarang ini.
Dari penjara, Anwar menggagaskan penubuhan Barisan Alternatif untuk pakatan Keadilan, PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Beliau juga merekayasa penggabungan Keadilan dengan PRM melalui satu memorandum 20 perkara.
Anwar juga yang menubuhkan Pakatan Rakyat dan merestui Pakatan Harapan (PH). Paling penting ialah dokongannya terhadap kemasukan Dr Mahathir dan PPBM ke dalam PH.
Struktur PH memerlukan inovasi politik. Maka, Anwar bukan saja menjadi ketua umum PKR, tetapi juga ketua umum PH. Wan Azizah pula bukan saja menjadi presiden PKR, tetapi juga presiden PH.
Namun begitu, perdana menteri pertama PH ialah Dr Mahathir sebagai pengerusi PH. Dengan keadaan ini, bukan saja PKR yang menjadi “parti tidak normal”, tetapi juga PH adalah “gabungan tidak normal”.
Akibat daripada keadaan “tidak normal” sebegini, kerajaan PH yang ditubuhkan pada 10 Mei juga jadinya “tidak normal”.
Kerajaan itu diketuai perdana menteri yang datangnya daripada parti bukan terbesar dari segi jumlah bilangan kerusi Parlimennya. Sokongan besar rakyat kepada Dr Mahathir bukan kerana PPBM, tetapi ketokohannya sendiri.
Sementara timbalan perdana menteri, iaitu Wan Azizah bukan berkuasa penuh ke atas partinya walaupun menyandang jawatan presiden, ini kerana kuasa terletak pada ketua umum.
Dalam kedudukan partinya yang lemah dari segi bilangan kerusi Parlimen, tentulah Dr Mahathir lebih bergantung kepada DAP dan Amanah.
Lebih “tidak normal” ialah kesepakatan yang Dr Mahathir mesti menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar selepas 2 tahun memegang jawatan itu.
Kebimbangan PKR yang Dr Mahathir tidak akan menunaikan janjinya mewarnai politik, bukan saja dalaman parti, malah negara. Lebih-lebih lagi dirasakan Dr Mahathir mempunyai lebih kecenderungan pada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berbanding Anwar.
Dengan keadaan “tidak normal” selama ini dalam PKR, iaitu dengan adanya jawatan tidak rasmi ketua umum dan presiden perlu disandang isteri ketua umum, maka jawatan timbalan presiden amat berpengaruh. Timbalan presiden sebenarnya pemimpin operasi parti.
Timbalan presiden Keadilan pertama ialah Dr Chandra Muzaffar. Beliau tidak mempertahankan jawatannya dalam pemilihan 2001 dan kemudiannya keluar parti.
Beliau digantikan Abdul Rahman Othman yang menjadi timbalan presiden sehingga penggabungan Keadilan-PRM. Abdul Rahman kemudiannya keluar parti dan menyertai PAS.
Selepas penggabungan, yang menjadi timbalan presiden PKR ialah bekas presiden PRM, Dr Syed Husin Ali, yang turut dilantik sebagai senator.
Pastinya, pelantikan beliau dalam parti dan Parlimen itu atas kehendak Anwar, memandangkan beliau disebut sebagai “guru” kepadanya, ini kerana Syed Husin adalah pensyarah ketika beliau belajar di Universiti Malaya.
Dalam ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR hujung minggu lalu, Azmin mendedahkan satu perkara penting mengenai kerjaya politiknya, betapa beliau berhasrat bertanding menentang Syed Husin bagi jawatan timbalan presiden.
Beliau dihalang oleh Anwar daripada berbuat demikian, ini kerana Anwar mahukan Syed Husin kekal menyandang jawatan itu.
Azmin hanya dapat menjadi timbalan presiden setelah Syed Husin enggan mempertahankan jawatan itu. Kemudian Azmin menceritakan bagaimana beliau ditentang Datuk Zaid Ibrahim.
Pada pemilihan lain, Azmin ditentang pula oleh Tan Sri Khalid Ibrahim. Azmin dapat mengalahkan kedua-dua pencabar itu. Kini, kedua-dua ahli politik itu sudah tidak bersama PKR. Ketika itu, dipercayai Anwar menyokong Azmin.
Pada pemilihan baru-baru ini, beliau dapat juga mengalahkan pencabarnya, walaupun adalah jelas Anwar memihak kepada Rafizi.
Tetapi, pemilihan lalu dirundung kontroversi. Ia juga menampakkan pemilihan parti menurut senarai cai, iaitu mengikut ketetapan kumpulan, dan bukan berdasarkan individu calon.
Sistem cai inilah yang membawa kepada kekalahan kumpulan progresif dalam PAS yang akhirnya memecahkan parti itu, dan tertubuhnya Amanah. Bezanya dengan PKR ialah arah dokongan presiden.
Dalam pemilihan PAS itu, pihak yang menyebelahi presiden, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang. Sementara pihak yang disokong Anwar, iaitu Rafizi, kalah. Walaupun Rafizi berhasrat mempertikaikan keputusan itu, Anwar meminta beliau menerima keputusan.
Maka, kongres yang diadakan itu dijadikan pelantar bagi memulihkan perpaduan PKR, setelah melalui proses pemilihan yang memecahbelahkan parti. Masa akan menunjukkan sama ada Anwar dapat menyatu dan mengukuhkan parti.
Perpaduan parti ini amat penting, walaupun pergolakan dalaman pasti berterusan. Setelah ia menjadi “parti normal”, arah selanjutnya adalah menjadikan PH gabungan politik “normal”.
Buat masa ini, Anwar memegang kedua-dua jawatan ketua umum dan presiden PH. Apabila beliau menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri, maka tidak timbul jawatan ketua umum PH.
PKR sebagai parti terbesar PH akan mengetuai kerajaan, barulah ia benar-benar menjadi parti “normal” dalam gabungan “normal”.
Dr Mahathir mungkin akan terus menjadi pengerusi PH, walaupun tidak menjadi perdana menteri.