
Setiausaha Agung DAP itu berkata keputusan tersebut dibuat setelah mengambil kira kenyataan Razman yang didakwa sengaja diputar-belit hingga mampu mencetuskan perasaan kurang senang dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan sedemikian cuba menghasut sentimen terhadap saya dan inilah sesuatu yang tidak bertanggungjawab kerana mengapa hanya semua tentang saya. Kalau ketua menteri Melaka tak terima, beliau pun patut dihentam oleh PAS, tapi tidak, hanya hentam saya.
“Saya keluarkan nasihat kepada anak-anak buah saya. Bila ketua menteri tak terima, sebenarnya Tey Kok Kiew tak harus terima gelaran ‘Datuk’. Jadi itulah sesuatu yang saya rasa amat bahaya (kerana) cuba bangkitkan sentimen untuk tutup kegagalan PAS uruskan ekonomi dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen.
Sabtu lalu, Razman berkata Pakatan Harapan (PH) yang baharu 6 bulan memerintah sudah ada tanda-tanda menunjukkan mereka anti Melayu.
“Kenyataan setiausaha agung DAP mengarahkan pimpinannya tidak menerima sebarang pengiktirafan atau bintang kehormatan (daripada istana), apa maknanya? Mereka tidak menghormati raja-raja Melayu. Betul atau tak betul?
“Biadab atau tak biadab? Apa yang kita nak hukumkan kepada mereka?” katanya ketika menyampaikan ucapan di Himpunan Perpaduan Ummah di Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak, malam kelmarin.
Lim berkata larangan supaya anak buahnya tidak menerima gelaran Datuk itu hanya ditujukan kepada ahli DAP dan tidak merangkumi anggota PH secara keseluruhan.
Katanya, nasihat itu dibuat bagi memastikan pemimpin DAP tidak sekadar mengejar gelaran “Datuk”, lebih-lebih lagi baharu sahaja memegang jawatan penting dalam kerajaan.
Lim sebelum ini secara terbuka menegur beberapa pemimpin parti itu yang menerima darjah, bintang dan pingat kebesaran daripada Melaka serta Sabah.
4 pemimpin DAP yang menerima gelaran “Datuk” ialah Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fat; Menteri Belia dan Sukan Sabah, Frankie Poon Ming Fung; Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew dan Timbalan Speaker DUN Melaka, Dr Wong Fort Pin.