Abai Dr M, pindah kedutaan ke Baitulmaqdis, kata bekas PM Australia

Abai Dr M, pindah kedutaan ke Baitulmaqdis, kata bekas PM Australia

Tony Abbot kata dasar-dasar Australia tidak patut dipengaruhi sentimen negara-negara jiran.

Tony Abbott kata Australia patut tunjukkan solidariti dengan Israel. (AFP pic)
PETALING JAYA:
Memuji Israel sebagai “saudara demokrasi plural”, bekas perdana menteri Australia Tony Abbot menggesa Canberra mengabaikan amaran Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap rancangan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Yahudi itu.

“Walaupun kita mengambil berat negara-negara jiran kita, tidak pernah Indonesia atau Malaysia terbiasa menentukan dasar-dasar kita,” kata Abbot kepada Sky News Australia.

Kenyataan Abbot itu 3 hari selepas Dr Mahathir menimbulkan isu itu dalam pertemuannya dengan rakan sejawat dari Australia, Scott Morrison di Singapura.

“Saya pernah katakan jika kita ingin tangani terorisme, kita perlu tahu sebab-sebabnya,” kata Dr Mahathir mengenai pertemuan itu.

“Menambahkan sebab-sebab ke arah terorisme tidak akan membantu.”

Amaran sama disuarakan Indonesia, yang berkata sebarang langkah mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel akan mengganggu rancangan perjanjian dagangan bebas dengan Australia.

Morrison menimbulkan idea memindahkan kedutaan Australia di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis pada Oktober, apabila partinya berdepan pilihan raya kecil di Wentworth, yang mempunyai bilangan pengundi berketurunan Yahudi yang ramai.

Parti Morrison bagaimanapun tewas di kerusi itu, buat pertama kali.

Israel menganggap Baitulmaqdis, kota yang dianggap suci oleh penganut agama Islam, Kristian dan Yahudi, sebagai ibu negaranya buat selama-lamanya.

Abbot berkata sokongan Australia kepada Israel tidak patut terhenti kerana retorik negara-negara jiran.

“Kita perlu buat keputusan berdasarkan kepentingan negara kita dan nilai-nilai negara kita.

“Mengapa kita tidak patut tunjukkan solidariti dengan satu-satunya demokrasi plural dan liberal di Timur Tengah, dengan menyokong mereka dan meletakkan kedutaan kita di ibu negara mereka?” katanya menurut laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.