Butik perkenal koleksi mirip ahli perniagaan kontroversi sempena Krismas

Butik perkenal koleksi mirip ahli perniagaan kontroversi sempena Krismas

APoM Store berkata koleksi Jholly berasal daripada idea mengisi sambutan Hari Natal tahun ini dengan unsur lucu.

Antara barangan daripada koleksi Jholly yang dipamerkan di butik APoM Store.
KUALA LUMPUR:
Butik berjenama tempatan, APoM Store mengesahkan mereka menghasilkan barangan yang memaparkan karikatur mirip seorang ahli perniagaan kontroversi, selepas koleksi Jholly tular di media sosial.

Pengasasnya, Kelvin Long, 42 berkata koleksi terbaru butiknya itu bersempena sambutan Hari Natal yang bakal tiba tidak lama lagi.

Beliau bagaimanapun menafikan karikatur itu adalah Jho Low, ahli perniagaan yang dikehendaki pihak berkuasa, seperti yang didakwa di media sosial.

“Itu bukan Jho Low, itu Jholly,” katanya kepada FMT ketika ditemui di pusat beli-belah Bangsar Village hari ini.

Kelvin berkata koleksi Jholly berasal daripada idea untuk mengisi sambutan Krismas tahun ini dengan unsur lucu.

“Kita tidak mahu orang marah-marah dan berasa geram. Kali ini kita sambut Hari Natal dengan hati gembira dan gelak tawa yang diberikan oleh koleksi ini,” katanya.

FMT mendapatkan penjelasan Kelvin selepas warga internet berkongsi gambar barangan Jholly di Facebook dan Twitter dengan tanda pagar #JhoLowstealsChristmas.

Tinjauan di butik APoM menemui kemeja T tertera “Lari, Party, Jholly, Repeat” dan beg kain “Spending Like I Stole It”, berlatarkan warna merah dengan karikatur wajah montel bercermin mata.

FMT dimaklumkan koleksi itu baru sahaja dipamerkan untuk jualan bermula Khamis minggu lepas dan menerima sambutan mengalakkan daripada pengunjung. “Yang tidak sambut Hari Natal pun beli koleksi kami,” kata Kelvin.

Turut dipamerkan ialah kad ucapan, cawan dan pelapik gelas dengan wajah Jholly.

Kelvin berharap koleksi itu dilihat sebagai sesuatu yang positif kerana ia membawa keriangan kepada Hari Natal, yang jatuh pada 25 Disember setiap tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.