Wanita Saudi pakai jubah terbalik bantah abaya hitam

Wanita Saudi pakai jubah terbalik bantah abaya hitam

Putera Mahkota Mohammed Salman berkata pemakaian jubah bukan perkara wajib, tetapi secara praktiknya tidak ada perubahan.

RIYADH:
Wanita Saudi menunjuk perasaan terhadap abaya hitam, memuatnaik gambar mereka memakai jubah wajib itu secara terbalik di media sosial.

Negara minyak konservatif itu mempunyai peraturan-peraturan terhadap wanita yang antara terketat di dunia, di mana golongan itu perlu memakai jubah warna hitam di khalayak.

Putera Mahkota Mohammed Salman pda Mac berkata pemakaian jubah bukan perkara wajib dalam Islam, tetapi secara praktiknya tidak ada perubahan dan tiada fatwa rasmi diterbitkan.

Dengan tanda pagar “abaya terbalik”, puluhan wanita memuatnaik gambar jubah terbalik sebagai bantahan terhadap kod pemakaian ketat itu.

“Golongan feminis Saudi sangat kreatif, mereka menghasilkan tunjuk perasaan bentuk baharu,” kata aktivis Nora Abdulkarim di Twitter minggu ini.

“Mereka memuatnaik gambar memakai abaya terbalik di khalayak ramai sebagai bantahan senyap terhadap paksaan.”

Seorang lagi wanita di Twitter berkata kempen dalam talian itu, yang semakin mendapat sambutan selepas muncul minggu ini, suatu bentuk “keingkaran sivil”.

Dalam satu temubual di saluran AS, CBS pada Mac, putera mahkota berkata: “Undang-undang sangat jelas dan undang-undang syariah menetapkan wanita memakai pakaian sopan seperti lelaki.”

Beliau menambah syariah “tidak secara khusus menyebut abaya hitam. Terserah kepada wanita untuk menentukan pakaian sopan apa untuk dipakai.”

Selepas kenyataan itu, seorang ulama Ahmed Qassim al-Ghamdi mengajak orang memikirkan perkara itu apabila dia menepis pandangan mendakwa hitam satu-satunya warna jubah yang dibenarkan dalam Islam.

Putera Mahkota Mohammed, yang sekarang ini berdepan kritikan atas pembunuhan seorang pengkritik, Jamal Khashoggi, menerajui usaha liberalisasi di kerajaan konservatif itu.

Pada Jun, wanita Saudi meraikan keputusan kerajaan Saudi membatalkan larangan terhadap pemandu wanita.

Kerajaan itu juga membenarkan wanita memasuki stadium sukan, yang sebelum ini hanya dibenarkan kepada lelaki, dan mendorong penglibatan lebih ramai wanita dalam tenaga kerja dalam usaha mempelbagaikan ekonomi yang bergantung kepada minyak.

Namun, seiring dengan reformasi itu, Arab Saudi menyaksikan penangkapan demi penangkapan aktivis wanita sejak beberapa bulan muktahir ini dalam tindakan keras terhadap perbezaan pendapat.

Negara itu juga dikritik kerana sistem penjagaan wanitanya, yang membolehkan lelaki menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk membuat keputusan bagi pihak perempuan kandung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.