Streram calon terbaik untuk PRK Rantau, kata Rafizi

Streram calon terbaik untuk PRK Rantau, kata Rafizi

Rafizi berkata Streram sudah lama berkhidmat di situ, dikenali masyarakat setempat dan komposisi pengundi berketurunan India yang tinggi.

SHAH ALAM:
Rafizi Ramli secara terbuka mengatakan Dr Streram Sinnasamy calon terbaik untuk dipertaruhkan PKR untuk bertanding pilihan raya kecil DUN Rantau, Negeri Sembilan.

Beliau berkata pakar bius itu wajar diberikan peluang sekali lagi berdasarkan kepada 3 perkara iaitu khidmat, populariti dan demografi pengundi.

Rafizi menjelaskan Streram dikenali penduduk setempat kerana sudah 2 tahun berkhidmat di situ dari sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Ketuk pintu jumpa orang, dia dikenali di bawah, khidmat dia cukup baik. Sebab itu Umno dalam PRU14 agak gentar untuk berdepan dengan Streram hingga tidak dibenarkan untuk menghantar pencalonan,” katanya ketika ditemui selepas Kongres Nasional PKR ke-13 ditangguhkan esok di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Rafizi juga menyorot perhatian kepada pengundi berketurunan India yang membentuk 32% daripada pengundi DUN Rantau.

“Walaupun ditandingi oleh Umno, tetapi komposisi kaum pengundi India yang paling ramai dalam seluruh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Rafizi mengesahkan dia tidak akan bertanding di DUN Rantau, atau menerima sebarang jawatan dalam tempoh masa 2 tahun ini. “Saya kalau dibayar RM50 juta pun saya takkan bertanding. Saya tidak berminat untuk pegang apa-apa jawatan awam kerana telah berjanji kepada keluarga.”

“Pandangan saya, calon yang paling baik, sesuai, dan paling layak dan berhak adalah Streram,” katanya, dan menambah ia berdasarkan kajian oleh Invoke Malaysia, badan penyelidik yang berkaitan dirinya dan PKr.

Mahkamah Khas Pilihan Raya semalam membatalkan keputusan pilihan raya umum ke-14 bagi DUN Rantau, selepas hakim membenarkan petisyen yang difailkan Streram.

Pada PRU14, calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan diumumkan pemenang di DUN Rantau selepas Streram gagal mengemukakan kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tiada pas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.