KPM nafi kertas peperiksaan SPM bocor

KPM nafi kertas peperiksaan SPM bocor

Lembaga Peperiksaan sudah menjalankan siasatan berkaitan aduan berhubung khabar angin yang tular dan mendapati ia palsu.

KPM berkata, peperiksaan sudah dijalankan mengikut garis panduan yang diberikan dengan penyeliaan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lembaga Peperiksaan (LP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan berlaku kebocoran kertas peperiksaan Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Cina bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini, KPM berkata LP sudah menjalankan siasatan berkaitan aduan diterima berhubung khabar angin yang tular membabitkan 3 kertas mata pelajaran itu.

“Terdapat khabar angin yang tular menyatakan kertas peperiksaan Bahasa Melayu, Matematik dan Bahasa Cina telah bocor dan calon dikehendaki menduduki semula kertas itu pada tarikh lain yang sudah ditetapkan.

“Perkara itu tidak benar dan tidak ada keperluan untuk calon menduduki semula 3 kertas peperiksaan itu,” katanya.

Dalam pada itu, KPM berkata, peperiksaan sudah dijalankan mengikut garis panduan yang diberikan oleh LP dengan penyeliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Kementerian Pendidikan memohon semua pihak supaya lebih prihatin, berhati-hati dan tidak menularkan sesuatu perkara yang tidak tepat.

“Ini kerana dikhuatiri akan mengganggu emosi dan fokus calon serta ibu bapa,” katanya.

Peperiksaan SPM 2018 telah bermula pada 13 Nov lepas dan dijadualkan berakhir pada 13 Dis depan. Seramai lebih 421,000 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan bertulis di seluruh negara tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.