Pakar: Bajet RM5.9 bilion untuk KDN, pertahanan, tidak jejas keselamatan negara

Pakar: Bajet RM5.9 bilion untuk KDN, pertahanan, tidak jejas keselamatan negara

Kerajaan PH bersikap berhati-hati mengenai amalan rasuah yang sebelum ini menjadi puca pembelian aset tidak relevan untuk pertahanan negara.

Lebih penting peruntukan Bajet 2019 dinikmati oleh tentera, penguatkuasa undang-undang dan anggota pertahanan lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Peruntukan rendah kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebanyak RM5.9 bilion dalam Bajet 2019 diyakini tidak akan menjejaskan keselamatan negara, kata seorang pakar anti-terrorisme.

Pengarah Wilayah Persatuan Profesional Keselamatan dan Anti-terorisme Antarabangsa (IASSP) di Pusat Kajian Keselamatan (CSS), Andrin Raj percaya, kerajaan PH bersikap berhati-hati mengenai amalan rasuah yang sebelum ini menjadi puca pembelian aset tidak relevan untuk pertahanan negara.

“Pada pandangan saya, peruntukan itu direndahkan pentadbiran baru adalah untuk menyelaraskan bajet, memandangkan terdapat pembelian peralatan sedia ada dilihat tidak diperlukan oleh tentera dan KDN.

“Saya percaya kerajaan PH akan lakukan semakan semula berkaitan perkara yang sudah dipersetujui pentadbiran terdahulu. Harus diingat, pemotongan bajet ini tidak mencerminkan pendirian kerajaan berhubung isu keselamatan, sebaliknya hanya untuk mengawal perbelanjaan,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, bekas menteri pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein meminta Kementerian Pertahanan dan KDN menjelaskan bagaimanakah caranya kementerian terbabit akan membeli aset pertahanan selepas menerima peruntukan lebih sedikit dalam Bajet 2019.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan perlu lakukan pemeriksaan realiti atau “reality check” sebelum mencadangkan belanjawan mereka.

“Ini memandangkan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu pernah pernah menyatakan hasrat membeli aset pertahanan baru seperti “unmanned aerial vehicles” (UAV) dan “maritime patrol aircraft”,” katanya.

Dalam pembentangan Bajet 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng, kerajaan PH menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM5.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan KDN.

Dalam Bajet 2108, kerajaan BN sebelum ini memperuntukkan lebih RM17 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan kira-kira RM8 bilion untuk KDN.

Andrin bagaimanapun berkata, apa yang lebih penting adalah peruntukan dalam Bajet 2019 ini dinikmati oleh tentera, penguatkuasa undang-undang, anggota pertahanan dan lain-lain yang setiap hari menumpahkan taat setia mereka kepada Raja dan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.