
Sebaliknya, Zuraida mencadangkan PKR menurunkan calon wanita untuk bertanding di kerusi itu yang dimenangi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan secara kontroversi, selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghalang Streram memfailkan kertas pencalonannya pada 28 April lalu.
“Saya akan mencadangkan calon wanita Negeri Sembilan,” kata ahli Parlimen Ampang itu kepada wartawan selepas menyampaikan ucapan penggulungan dalam Kongres Nasional Wanita PKR ke-13 di sini, hari ini.
Beliau berkata, PKR tidak menurunkan calon wanita di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.
“Saya seorang wanita. Saya mahu mencadangkan calon wanita kerana tiada wanita bertanding di Negeri Sembilan.”
Terdahulu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Mohamad di DUN Rantau tidak sah dan terbatal, selepas hakim membenarkan petisyen difailkan Streram.
Pada hari pencalonan 28 April lalu, Mohamad diisytiharkan menang tanpa bertanding di kerusi itu selepas satu-satu pencabarnya, Streram gagal menghantar kertas pencalonan kerana dilarang masuk ke pusat penamaan calon disebabkan tiada pas SPR.
Pakar bius itu kemudiannya memfailkan petisyen di mahkamah pada 23 Mei lalu, bagi memohon PRK diadakan di kerusi terbabit kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, parti Islam itu tidak akan bertanding, selepas Umno mengumumkan akan menurunkan Mohamad untuk mempertahankan kerusi DUN yang dimenanginya sejak 2004.